KUALA TERENGGANU : Seorang pembantu rumah ditahan reman selama empat hari selepas dipercayai mendera dua orang anak majikannya dalam kejadian di sini pada Sabtu lalu.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Majistret Nordiana Abd. Aziz mengeluarkan perintah reman ke atas wanita berusia 48 tahun warga Indonesia itu bermula hari ini bagi membantu siasatan pihak polis.
Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, suspek didakwa merentap tangan kiri mangsa dengan kuat sehingga terkehel selain menyiram air ke atas muka mangsa.
Kejadian dipercayai dilakukan suspek terhadap mangsa yang berusia satu tahun dan tiga tahun di sebuah rumah di taman perumahan di Kuala Terengganu, di sini Sabtu lalu.
Perbuatan suspek itu disedari kedua ibu bapa mangsa setelah melihat rakaman kamera litar tertutup di rumah mereka sebelum membuat laporan polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
-Utusan Online