Mahkamah Persekutuan hari ini dimaklumkan bahawa bukti baru yang didakwa dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta tidak diberikan kepada Najib Razak.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ketua peguam bela bekas perdana menteri itu, Hisyam Teh Poh Teik berhujah bahawa keterangan tambahan itu mengandungi bukti material yang menunjukkan konflik kepentingan dan berat sebelah membabitkan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali tidak disediakan kepada mereka semasa perbicaraan.
Peguam itu berkata, bahawa jika bukan kerana sampul surat tanpa nama yang dihantar kepada Najib antara 9 Mei dan 7 Julai – yang didakwa mengandungi bukti baru – maka pasukan pembelaan tidak akan menyedari kewujudannya.
Hisyam memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa Najib yang juga adalah bekas menteri kewangan ketika itu tidak mengetahui tentang dakwaan pengetahuan dan penglibatan Nazlan dalam penubuhan SRC melalui jawatannya (Nazlan) sebagai peguam di Maybank Investment.
Mohd Nazlan adalah hakim Mahkamah Tinggi yang mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram dana SRC International, dan memerintahkannya dipenjara 12 tahun serta didenda RM210 juta pada 28 Julai 2020.
Prosiding hari ini dihadapan panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat akan bersambung semula petang ini.
Anggota panel lain ialah Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim, hakim Mahkamah Persekutuan P Nallini, Mary Lim Thiam Suan dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.
Mahkamah Persekutuan sedang mendengar permohonan pasukan peguam Najib untuk mengemukakan bukti baru, sebagai sebahagian daripada usaha untuk membatalkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes itu.
Najib memohon memasukkan dalam rayuan akhirnya antaranya keterangan viva voce (lisan) pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rosli Hussein berhubung siasatan skandal SRC International.
-Malaysia Kini