JOHOR BAHRU: “Sepanjang usia saya 50 tahun dan menetap di Rumah Pangsa Ros Merah di sini, sejak 1999, inilah kejadian ribut paling buruk pernah terjadi,” kata Suri Rumah, Rosliza Jaafar.
Ikuti Mynewshub:Â Telegram
Rosliza yang menetap di tingkat empat Blok E berkata ketika kejadian dia bersama suaminya sedang mengemas rumah dan melihat bumbung rumah di blok sebelah diterbangkan angin dalam kejadian ribut, kira-kira jam 1.15 petang tadi.
Katanya tidak lama kemudian, sebatang kayu dari bumbung blok sebelah masuk ke kediamannya, sebelum bumbung rumahnya turut diterbangkan ribut yang kuat berserta hujan memasuki rumahnya.
“Selepas bumbung diterbangkan angin, hujan terlalu lebat sehingga segala perkakasan rosak terkena air.
“Masa itu hanya Allah SWT yang tahu perasaan saya, terlalu takut. Tidak pernah terjadi kejadian seumpama ini. Hujan lebat kira-kira 30 minit berserta angin dan ribut kencang.
“Memang tidak sempat selamatkan barang-barang. Tidak sangka duduk ditingkat empat rumah boleh banjir dan basah,”katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Dalam kejadian ini, seramai 50 keluarga terjejas membabitkan enam blok daripada 10 blok iaitu blok C, D, E, F, G dan H.
Rata-rata penduduk yang terlibat adalah penduduk yang menetap ditingkat empat blok terbabit.
Bagi Pekerja Kilang, Nizam Maskam, 45 dia hanya ingat untuk menyelamatkan kedua ibu bapanya yang uzur di dalam rumah ketika ribut melanda.
Katanya bapanya, Maskam Sarbini, 80 dan ibunya Masitah Yusuf, 82 tinggal bersamanya di tingkat empat Blok H.
“Hari ini Jumaat, jadi sebelum keluar solat Jumaat, saya lihat angin kencang dengan hujan yang lebat lain macam.
“Apabila tiba-tiba bumbung rumah terbang, perkara pertama yang saya cari ialah mak ayah yang sedang uzur. Saya terus angkat mak dan ayah ke beranda, ini adalah kejadian paling teruk.
“Tiada barang apa dapat diselamatkan semuanya basah dan rosak termasuk perkakasan elektrik,”katanya yang telah menetap lebih 20 tahun di kawasan itu.
BHonline-