BANDAR GAZA – Israel melancarkan serangan udara ke atas Gaza, manakala kumpulan pejuang Palestin membalas dengan bedilan roket hari ini dalam peningkatan keganasan paling buruk di rantau Asia Barat sejak perang pada tahun lalu.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Pihak berkuasa Palestin di Semenanjung Gaza berkata, 10 orang terbunuh dalam pengeboman Rejim Zionis termasuk seorang budak perempuan berumur lima tahun sementara 75 yang lain cedera. Tentera Israel menganggarkan operasinya membunuh seramai 15 pejuang Palestin.
“Kami menganggap 15 orang mati semasa berperang di Gaza,” kata jurucakap tentera Israel, Richard Hecht merujuk kepada pejuang Palestin.
Kereta-kereta kebal Israel pula mengambil kedudukan di sempadan, manakala menurut Rejim Zionis pada Khamis lalu, pihaknya meningkatkan bilangan askar Israel.
Perdana Menteri Israel, Yair Lapid pula berkata, Rejim Zionis terpaksa melancarkan ‘operasi awal ke atas ancaman serta-merta’ oleh pejuang Palestin susulan ketegangan yang berterusan selama beberapa hari di sempadan Gaza.
Rejim Zionis dan Jihad Islam mengesahkan mengenai pembunuhan komander kanan kumpulan itu, Taysir al-Jabari, dalam satu serangan semalam.
Bedilan roket dan serangan Israel berterusan semalaman dan berisiko mencetuskan semula perang 11 hari pada Mei 2021 yang memusnahkan Gaza dan memaksa penduduk Israel berlindung di kubu-kubu bawah tanah.
“Israel tiada minat mencetuskan konflik lebih meluas di Gaza tetapi tidak akan mengelak jika terpaksa,” kata Lapid dalam ucapan di televisyen.
Pihak tentera pada awalnya mengesahkan sekurang-kurangnya 70 roket dilancarkan dari Gaza dan menyebut, 11 roket jatuh di wilayah berkenaan dengan berpuluh-puluh lagi lagi dipintas sistem pertahanan ‘Kubah besi’, manakala sebilangan yang lain mengenai kawasan terbuka.
-Kosmo Online