KUALA LUMPUR : Datin Seri Rosmah Mansor mempunyai tempoh 14 hari bermula hari ini untuk memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi semalam, berhubung kes rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion.
Ikuti Mynewshub:Â Telegram
Isteri Perdana Menteri itu disabit dan dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta selepas didapati bersalah atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Peguam dan juga bekas Timbalan Pendakwa Raya, Farhan Read, berkata pada peringkat ini rayuan adalah satu-satunya perkara yang boleh dilakukan Rosmah.
Katanya, walaupun Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan, membenarkan permohonan untuk menangguhkan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan, Rosmah perlu memfailkan notis rayuan mengikut Seksyen 307 Kanun Acara Jenayah.
“Prasyarat bagi penangguhan hukuman mengikut Seksyen 311 Kanun Acara Jenayah adalah notis rayuan perlu difailkan terlebih dahulu.
“Bagaimanapun, harus diingat bahawa notis rayuan tidak semestinya memberikan seseorang itu penangguhan terhadap hukuman, namun dalam kebanyakan kes komersial, perkara itu (penangguhan hukuman) kebiasaannya akan diberikan,” katanya kepada BH hari ini.
Semalam Hakim Mohamed Zaini selepas membacakan keputusan, membenarkan pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sehingga Rosmah mengemukakan rayuan.
Jika gagal membayar denda berkenaan, Rosmah perlu menjalani hukuman penjara tambahan 30 tahun.
Proses rayuan lama beri kesan kepada UMNO, BN
Dalam perkembangan berasingan, peguam Abd Fahmi Moin, berkata proses rayuan yang lama akan memberi impak menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Katanya, sebelum ini rayuan Datuk Seri Najib Razak mengambil masa yang lama kerana permohonan penangguhan atas pelbagai alasan dibuat oleh peguam bela.
“Jika keadaan sama berlaku untuk kes Rosmah, maka ia akan memberi tekanan lebih berat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN), kerana rakyat akan melihat dan menilai seolah-olah beliau melengah-lengahkan proses mahkamah.
“Walaupun Rosmah bukanlah seorang pemimpin UMNO, namun kes ini akan memberikan implikasi negatif kepada usaha UMNO dan BN untuk memenangi PRU-15,” katanya.
Tambahnya, keadaan mungkin berbeza jika sebelum ini parti itu menerima kenyataan bahawa terdapat kluster mahkamah dan berundur bagi memberi laluan kepada pemimpin baharu menerajui parti, sehingga dibuktikan tidak bersalah.
“Bagaimanapun, mereka masih bergantung kepada pemimpin-pemimpin (kelompok dilabel kluster mahkamah) ini dan implikasinya adalah sangat buruk menjelang PRU akan datang,” katanya.
-Berita Harian