Bukit Mertajam : Polis sedang mengesan seorang pembantu rumah wanita warga asing yang dipercayai melarikan diri bersama sejumlah barangan kemas bernilai RM69,000 milik majikannya di sebuah rumah di Taman Bukit, di sini, Khamis lalu.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, polis menerima laporan yang dibuat seorang doktor berusia 33 tahun memaklumkan pembantu rumahnya berusia 27 tahun melarikan diri.
“Doktor berkenaan membuat laporan polis selepas isterinya juga berusia 33 tahun menyedari ketiadaan pembantu rumah mereka kira-kira 6 pagi, Khamis lalu.
“Namun, ketika itu (semasa buat laporan polis) lelaki itu dan isterinya tidak menyangka barangan kemas yang disimpan dalam almari berkunci di sebuah bilik rumah mereka turut dilarikan.
“Ia hanya disedari isterinya selepas dua hari membuat laporan polis selepas mendapati barang kemas itu sudah tiada ketika ingin memakainya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan polis ke atas almari di rumah mangsa tidak menemui sebarang kesan umpil yang dipercayai suspek mempunyai kunci bagi membuka almari itu.
“Dalam almari itu terdapat dua gelang emas, lima rantai emas, empat subang dan loket yang keseluruhannya bernilai RM69,000.
“Berdasarkan kamera litar tertutup (CCTV) yang dikesan di rumah jiran mangsa mendapati suspek melarikan diri kira-kira 1 pagi pada hari kejadian dan terdapat sebuah kereta mengambil suspek.
“Kita juga sedang berusaha menjejaki kenderaan berkenaan.
“Menurut mangsa, suspek sudah bekerja dengan mereka selama tiga bulan yang mana mangsa menggajikan sendiri suspek tanpa menggunakan khidmat ejen.
“Di rumah terbabit hanya ada mangsa (pasangan suami isteri) serta dua anak mereka berusia empat dan tujuh tahun,” katanya.
Dalam pada itu, Tan berkata, suspek dikenali sebagai Eka Lestari melarikan diri bersama pasport namun polis percaya dia masih berada dalam negara dan usaha menjejaki wanita itu kini sedang giat dilakukan pihak polis.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan berhubung kes ini.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan sebarang maklumat yang ingin dimaklumkan boleh berhubung dengan Inspektor Mohamad Suhaimi Ismail di talian 019-2909231,” katanya.
-Harian Metro