JOHOR BAHRU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor mengenal pasti sebanyak 141 kawasan berkemungkinan boleh berlaku kejadian banjir semasa musim tengkujuh.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Pengarah APM Johor, Penolong Pesuruhjaya Kamal Mokhtar berkata, kolektif data mengenai kawasan yang dikesan kerap berlaku banjir kilat dan banjir besar itu diperoleh sejak lima tahun lalu.
Beliau berkata, kesemua 10 daerah di negeri ini khususnya Segamat, Pontian dan Tangkak berisiko berlaku banjir pada Monsun Timur Laut yang diramal bermula November ini hingga Mac depan.
“Sehubungan itu, kita telah bersedia dengan kekuatan 1,000 anggota untuk digerakkan pada bila-bila masa bagi menghadapi apa jua bencana yang berlaku di peringkat negeri ini.
“Dari segi keanggotaan dan logistik, itu sudah mencukupi kerana bukan APM sahaja yang digembleng ketika Monsun Timur Laut, sebaliknya diperkuatkan oleh pelbagai agensi.
“Jadi, tidak timbul isu tidak cukup keanggotaan serta kelengkapan logistik kerana boleh memohon daripada agensi yang lain bagi melengkapkan kekuatan tersebut,” katanya selepas uji lari sistem awam (PWS) APM di Pejabat APM Daerah Johor Bahru, di sini hari ini.
Kamal berkata, kerajaan negeri telah mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana bagi membincangkan mengenai persediaan setiap agensi ketika Monsun Timur Laut bagi tahun ini dan tahun depan.
Katanya, APM telah melaksanakan beberapa langkah proaktif ataupun langkah awal untuk bersiap siaga dalam apa jua bencana yang berlaku di negeri Johor.
“Johor mengalami cuaca yang agak lembab dan berlaku beberapa banjir kilat di setiap daerah sepanjang tahun ini. Susulan itu, kita sudah bersiap siaga sejak awal tahun hingga akhir tahun ini.
“Kita telah pun melaksanakan banyak jenis latihan di peringkat negeri sebagai persediaan menghadapi banjir yang dijangka bermula Disember hingga Februari depan,” katanya.
Katanya, APM juga akan menggunakan siren PWS jenis elektrik di Pejabat APM Daerah Johor Bahru bagi memberi amaran mengenai ancaman bencana, kecemasan dan ketenteraman.
Siren itu juga berfungsi sebagai medium untuk melatih dan mendidik orang awam bagi mengambil tindakan sewajarnya dalam situasi memerlukan selain membuat pengumuman dan pemberitahuan awam.
UtusanOnline-