KUALA LUMPUR : Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan membuat pemakluman mengenai kaedah pelaksanaan beberapa inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri semalam bagi peminjamnya dalam kumpulan M40.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Dalam satu kenyataan hari ini, PTPTN berkata perkara itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat bagi memastikan inisiatif berkenaan dilaksanakan dengan berkesan.
“PTPTN merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pengumuman kenaikan jumlah pinjaman PTPTN daripada 75 peratus kepada 100 peratus bagi golongan M40 kategori M1 serta kemudahan pinjaman komputer riba kepada peminjam PTPTN golongan M40.
“Pengumuman ini jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam menjaga kebajikan serta kepentingan mahasiswa Keluarga Malaysia,” kata kenyataan itu.
Kategori M1 adalah mereka yang mempunyai julat pendapatan antara RM4,851 hingga RM5,880.
Julat pendapatan kategori M2 pula adalah antara RM5,881 hingga RM7,100, kategori M3 ialah RM7,101 hingga RM8,700 dan M4 ialah RM8,701 hingga RM10,970.
Dalam kenyataan sama, PTPTN turut memaklumkan mulai semalam agensi itu membuka permohonan pengecualian bayaran balik pinjaman bagi graduan yang layak.
Insentif itu diumumkan Ismail Sabri pada Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN pada 27 Julai lalu.
Semua peminjam yang tamat pengajian bermula tahun 2019 dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama tanpa mengira status ekonomi, bangsa dan agama, mereka layak membuat permohonan pengecualian bayaran balik pinjaman mulai 15 September 2022 hingga 31 Disember 2022 secara dalam talian.
Permohonan boleh dibuat menerusi portal rasmi PTPTN melalui pautan https://www.ptptn.gov.my/kelaspertamaonline/Utama.
Peminjam juga boleh merujuk portal rasmi PTPTN sekiranya terdapat sebarang persoalan.
Agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) itu turut berharap semua inisiatif yang disediakan dapat menjadi penyuntik semangat dan dorongan kepada semua pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh dan mendapat kelulusan yang terbaik dalam pengajian.
Untuk maklumat lanjut, peminjam boleh menghubungi PTPTN melalui beberapa saluran termasuk Careline PTPTN di 03-2193 3000 yang beroperasi Isnin hingga Jumaat, jam 9 pagi hingga 5 Petang atau Live Chat di www.ptptn.gov.my.
Pengguna juga boleh membuat e-Aduan di https://eaduan.ptptn.gov.my atau menghubungi Eksekutif Pemasaran PTPTN di https://www.ptptn.gov.my/hubungi-ptptn.
-Berita Harian