REMBAU: Hospital Rembau (HR) dinaik taraf sebagai Hospital Pakar Minor bagi mengimbangi kesesakan jumlah pesakit dialami di Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) di Seremban, dekat sini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata sejajar itu, pelbagai kemudahan dan perkhidmatan di hospital berkenaan ditambah baik termasuk membuka satu lagi unit Otorinolaringologi (ORL).
Katanya, satu lagi dewan bedah turut ditambah di Hospital Rembau membabitkan peruntuan RM9 juta, menjadikan kini dua kemudahan itu disediakan.
“Sehubungan itu juga, penempatan pakar dalam Perubatan Am, Rehabilitasi, kecemasan, ORL, anaestesia, pembedahan, pediatrik, oftalmologi, psikiatrik dan lain-lain akan dibuat secara berperingkat.
“Satu lagi komponen penting bagi Hospital Pakar Minor adalah CT Scan (imbasan topografi berkomputer) yang telah pun kita luluskan dan akan dibuat perolehan secepat mungkin.
“Memang ada keperluan hospital ini sebagai Hospital Pakar Minor, disebabkan kesesakan di HTJ Seremban.
“Dengan menaikkan taraf sebagai Hospital Pakar Minor, banyak kes sama ada boleh dirujuk di sini atau tidak perlu dirujuk di HTJ dan dapat diselesaikan di sini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hospital Rembau, petang ini.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, Datuk Dr Awaludin Said; Ketua Setiausaha KKM, Datuk Harjeet Singh; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS), Datuk Dr Harlina Abdul Rashid dan Pengarah Hospital Rembau, Dr Fatin Mahirah Mahmood.
Khairy berkata, Hospital Rembau akan memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik yang tidak terlalu serius, sekali gus dapat meringankan beban dan kesesakan di HTJ.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, Hospital Rembau menjadi lokasi pertama menyediakan perkhidmatan WiFi percuma dan perkhidmatan itu akan diperluaskan ke semua hospital awam seluruh negara untuk keperluan pelanggan, pesakit dan ahli keluarga.
“Kami dapati terdapat hospital yang capaian internet tidak konsisten dan menerusi WiFi percuma ini, akan dapat membantu pesakit berkomunikasi dengan ahli keluarga dan juga pelanggan lain. Kita bermula dengan Hospital Rembau,” katanya.
Dalam pada itu, Khairy berkata, beberapa hospital lain seperti di Sabah dan Sarawak juga sudah dikenal pasti untuk dinaikkan taraf sebagai Hospital Pakar Major dan Minor selain Hospital Negeri.
“Sabah dan Sarawak memang ada keperluan disebabkan jarak yang jauh antara satu hospital ke hospital lain, manakala faktor lain yang mempengaruhi adalah kesesakan pesakit di hospital negeri.
“Saya akan teruskan lawatan kerja dan akan lihat hospital mana yang dapat memenuhi kriteria terutama dari aspek jarak yang terlalu jauh atau faktor kesesakan di hospital negeri,” katanya.
Hospital Rembau dibina dengan kos keseluruhan RM147 juta bermula 9 September 2013 dan siap sepenuhnya 10 Oktober 2019, membabitkan perolehan peralatan sebanyak RM22.4 juta.
Jumlah pesakit mendapatkan perkhidmatan meningkat dengan bilangan pesakit luar naik daripada 14,413 orang pada 2020 kepada 21,449 setakat Ogos lalu, iaitu peningkatan 48.8 peratus.
BHonline-