ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi kelab pertama di Malaysia yang menjalin kerjasama dengan Socios.com iaitu sebuah platform aplikasi yang menjadi penghubung dan memberi peluang ganjaran kepada penyokong.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah pihaknya berbangga dengan kerjasama itu yang dapat membawa penyokong lebih dekat dengan kelab berkenaan.
Titahnya, kerjasama itu secara tidak langsung memberi peluang kepada kelab untuk terus berkembang sekali gus menjadikan JDT dikenali di mata dunia.
“Kerjasama ini memberi kami peluang untuk berkembang lagi dan mempromosikan nama JDT di seluruh dunia terutama dalam industri sukan bola sepak.
“Jadi, kami ada kelebihan yang mana ia akan memperkukuhkan dari segi kewangan dan promosi nama JDT di peringkat antarabangsa. Saya rasa ini satu deal (perjanjian) paling hebat sekali dalam industri sukan bola sepak negara,” titah baginda pada sidang media, di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Socios, Alezandre Dreyfus; Ketua Unit Komersil JDT, Kevin Ramalingam dan Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards.
Menerusi kerjasama ini penyokong JDT boleh menembus ganjaran melalui $JDT Fan Tokens di Socios.com.
Fan Tokens adalah aset digital yang membolehkan penyokong mengakses komuniti bagi mana-mana pertandingan, undian kelab, ‘prediction’ dan pelbagai lagi ciri-ciri boleh memberi akses kepada ganjaran termasuk barangan cenderahati kelab, tiket-tiket VIP dan pengalaman kelab unik tidak akan dilupakan.
Lebih 170 organisasi sukan terkemuka dunia seperti kelab ternama dari Eropah dan Amerika Latin sudah pun menjalin kerjasama dengan Socios.com untuk mencipta pengalaman dan peluang kepada penyokong menerusi Fan Tokens.
BHonline-