PETALING JAYA : Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengecam tuduhan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan pakatannya tidak dapat melakukan reformasi sepenuhnya kerana diketuai oleh pemimpin yang ‘bukan reformis’.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ketua Penerangannya, Ulya Aqamah Husamudin mengingatkan, pentadbiran PH diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini menunaikan 53 janji dalam manifesto sepanjang 22 bulan pentadbirannya.
Malah, katanya, pada Disember 2019 lalu, Lim Guan Eng yang juga Menteri Kewangan ketika itu pernah menyatakan bahawa sebanyak 60 peratus janji PH dalam pilihan raya sudah ditunaikan.
Baki janji itu katanya, terpaksa ditunda kerana negara berdepan cabaran fiskal yang lemah dan cabaran ekonomi dengan masalah itu turut diakui sendiri Presiden PKR itu.
Sehubungan itu, Ulya Aqamah berkata, Anwar hanya mahu melepaskan diri daripada tanggungjawab dan tidak berani berdepan kebenaran serta realiti.
“Jangan lupa apabila ia berkaitan dengan urusan kerajaan, ia adalah tanggungjawab bersama.
“Andai Dr. Mahathir dipersalahkan, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan pimpinan PH lain juga perlu dipersalahkan,” katanya.
Malam tadi, Anwar menyifatkan, kerajaan PH tidak dapat melaksanakan reformasi sepenuhnya kerana ia diketuai oleh pemimpin yang ‘bukan reformis’.
Katanya, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang kembali kepada politik perkauman yang bertentangan agenda PH yang berbilang kaum semasa mengetuai pentadbiran PH sebelum ini.
-Utusan Online