BESUT : Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh di tali air di Kampung Tasik Nibong, Bukit Jeruk, di sini, tengah hari tadi.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad, berkata mangsa, Saidatul Insyirah Abdul Muin beralamat di Tumpat, Kelantan.
Katanya, bapa mangsa Abdul Muin Muhammad, 39, dimaklumkan oleh seorang anaknya bahawa mangsa ditemukan lemas dalam tali air kira-kira jam 1.30 tengah hari.
“Pengadu segera ke lokasi kejadian dan dengan dibantu pelajar Pondok Raudhatul Muhammadi Kampung Bukit Jeruk pengadu terjun ke dalam tali air untuk mencari anaknya.
“Mangsa dibawa naik ke darat dalam keadaan tidak sedarkan diri dan bapa mangsa membawa anaknya mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Jabi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Rozak berkata, mangsa disahkan meninggal dunia dan dihantar ke unit forensik Hospital Daerah Besut kira-kira jam 6.40 petang untuk proses bedah siasat.
Katanya kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
-Berita Harian