IPOH : Beberapa lagi cebisan tulang dipercayai milik mangsa runtuhan batu di tapak kuari dekat Keramat Pulai di sini Mac lalu, ditemukan sebentar tadi.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata, tulang tersebut ditemukan berhampiran lokasi kedua bangkai jengkaut dijumpai semalam.
“Seramai 10 anggota termasuk seorang pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai hari ini meneruskan kerja-kerja pencarian di lokasi runtuhan batu itu pada pukul 8 pagi.
“Ketika kerja-kerja pencarian dilakukan bersama pihak kuari, kita telah menemukan cebisan tulang di lokasi bangkai jengkaut kedua sekitar pukul 12 tengah hari,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, kerja-kerja penggalian bagi melebarkan kawasan carian itu bagaimanapun terpaksa ditangguhkan sementara pada pukul 12.45 tengah hari ekoran hujan lebat.
“Cebisan tulang tersebut masih belum dibawa keluar dari lokasi runtuhan. Atas nasihat Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), kita terpaksa menangguhkan sementara kerja-kerja pencarian. Operasi akan dijalankan semula bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya.
Menerusi laporan media semalam, dua bangkai jengkaut ditemukan di lokasi dua mangsa tertimbus dalam runtuhan batu di tapak kuari di Keramat Pulai sejak Mac lalu.
Turut ditemukan berhampiran bangkai jengkaut ialah rangka tulang, rambut dan baju disyaki milik salah seorang mangsa.
Kejadian runtuhan batu di tapak kuari pada 8 Mac lalu sekitar pukul 9.15 pagi mengakibatkan dua mangsa tertimbus iaitu Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.
Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke HRPB untuk rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan.
-Utusan Online