PETALING JAYA : Lelaki warga asing cedera selepas ditikam di pinggang dalam pergaduhan di Jalan Radin Bagus 8, Sri Petaling di sini awal pagi tadi.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Lelaki berusia 30-an itu ditemukan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Sri Petaling dalam keadaan terbaring di tepi jalan pada 3.49 pagi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintenden Basri Sagoni berkata, pemeriksaan awal terhadap mangsa menemukan satu kesan tikaman pada bahagian pinggang kiri.
Katanya, mangsa yang dipercayai dalam keadaan mabuk dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras untuk rawatan.
“Siasatan lanjut di lokasi tidak menemukan sebarang senjata.
“Pemeriksaan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta pemantauan sekitar lokasi kejadian membawa kepada penahanan lima lelaki warga asing berusia lingkungan 20-an ke 30-an yang disyaki terbabit dalam pergaduhan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, terdapat kesan lebam pada muka dua daripada lelaki warga asing itu.
Jelasnya, kesemua mereka ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes diminta menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
-Utusan Online