Projek tenaga hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak mesti diteruskan, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ini walaupun Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri Najib Abdul Razak, disabitkan bersalah dalam kes rasuah projek solar itu.
“Walaupun saya tidak pasti sama ada projek itu telah dilaksanakan atau tidak, kita hanya boleh berharap projek itu diteruskan seperti yang dirancang.
“Projek hibrid solar itu dicadangkan untuk membekalkan elektrik kepada sekolah-sekolah di kawasan luar bandar,” katanya seperti dipetik The Borneo Post.
Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Rosmah atas kesalahan rasuah berhubung projek itu dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta ke atasnya, dengan tambahan 30 tahun penjara jika gagal membayar denda itu.
Satu pertuduhan menuduh Rosmah meminta RM187.5 juta dan dua lagi atas pertuduhan menerima rasuah RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsuddin, melalui bekas pegawai khasnya Rizal Mansor.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.
Mengenai keputusan itu, Karim berkata ia menunjukkan kedaulatan undang-undang ditegakkan di Malaysia.
“Sama ada anda perdana menteri, bekas perdana menteri, atau bekas first lady (isteri perdana menteri), itu tidak bermakna anda kebal daripada undang-undang,” katanya.
“Jika mahkamah mendapati anda bersalah, maka anda akan bersalah, yang merupakan sesuatu yang kita semua perlu hormati.
“Ini adalah pengajaran kepada penjawat awam yang diamanahkan dengan amanah awam – anda perlu lebih berhati-hati,” tambah Karim.
Najib sendiri kini menjalani hukuman penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan pertuduhan yang dikenakan terhadapnya membabitkan RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.
-Malaysia Kini