PUTRAJAYA : Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanya menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) seperti mana prosedur operasi standard (SOP) bagi banduan.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya tidak menafikan rawatan perubatan kepada semua banduan di mana-mana penjara dan pusat tahanan termasuk bekas Perdana Menteri itu.
Malah katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan rawatan terbaik kepada semua banduan dan bukan sahaja Najib kerana ia merangkumi semua banduan.
“Tuduhan mengatakan ubat tekanan darah untuk Najib ditukar adalah isu yang tidak menggambarkan perkara sebenar kerana ia adalah ubat jenis generik iaitu ubat yang sama cuma jenama yang berbeza. Sebelum ini, Najib mendapatkan ubat beliau dari hospital swasta tetapi apabila menjadi banduan, seseorang banduan akan dirujuk ke hospital kerajaan dan ubat yang diberi formula yang sama seperti panadol dan paracetamol,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Khairy berkata, Najib dihantar semula ke Penjara Kajang Sabtu lalu, selepas semua pakar di HKL mendapati keadaan bekas Perdana Menteri itu dalam keadaan memuaskan.
Katanya, tiada sebab untuk Najib perlu berada di HKL pada hari Ahad selepas keadaannya memuaskan kerana lebih seorang pakar mengesahkan keadaannya stabil.
“Hari ini, Najib dihantar semula ke HKL bagi menjalani pemeriksaan bagi melengkapkan laporan kesihatannya manakala Ketua Perkhidmatan Gastroenterology KKM, Dr Rosaida Md Said adalah pakar yang merawat beliau. Saya juga sudah maklumkan kepada Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Asmayani Khalib supaya melakukan pemeriksaan ke atas Najib supaya tiada lagi pertikaian,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak dua kali pertemuan bersama keluarga Najib sudah dilakukan bagi menjelaskan perkara ini.
Dalam pada itu beliau berkata, Najib tidak dihantar ke Institut Jantung Negara (IJN) tetapi akan menerima rawatan di hospital kerajaan seperti banduan lain.
Jelasnya, bekas Perdana Menteri itu hanya menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) seperti mana prosedur operasi standard (SOP) bagi banduan.
-Utusan Online