ALOR SETAR : Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan menyaksikan 27 kerusi kritikal bagi peringkat Parlimen sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru antara Pas, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), sekali gus merugikan Muafakat Nasional (MN).
Ikuti Mynewshub: Telegram
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sehubungan itu, Pas masih berharap rundingan penyatuan bersama BN sebelum hubungan berkenaan dimuktamadkan dalam tempoh sebulan ini.
“Kita tengok ada beberapa perkara yang perlu kita duduk bersama. Contoh kalau nak tawan Selangor, Pas, Perikatan Nasional (PN) dan BN perlu duduk bersama. Ada 27 kerusi yang agak kritikal yang kita rasa sekiranya kita bertembung, kedua-dua parti akan rugi. PN rugi, BN rugi.
“Kerusi kritikal ini di seluruh negara yang pernah dimenangi Pas dan UMNO sebelum ini dan kini dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) akibat Pas dan BN tak menang. Jika Pas dan BN buat rundingan, kita mampu menang contohnya di Parlimen Raub dan Bentong, Pahang,” katanya dalam sidang akhbar selepas Merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas ke-63 di sini hari ini.
Difahamkan 20 dari 27 kerusi berkenaan kini disandang oleh Ahli Parlimen daripada PH termasuk DAP.
Tambah Tuan Ibrahim, Pas masih terbuka untuk berunding dengan BN terutama dalam memuktamadkan pembahagian kerusi berkenaan untuk berdepan PRU15 demi penyatuan ummah.
“Kita dalam kerajaan dukung MN kerana hubungan kita sangat baik dan saya ingin tegaskan kita belum bubar MN. Kita perlu kekal platform ini (MN) ini untuk kepentingan Islam dan ummah pada masa hadapan,” katanya.
Pas bagaimanapun kata Tuan Ibrahim, akan memuktamadkan hubungan tersebut dalam tempoh sebulan ini sebagai persediaan menentukan hala tuju parti bagi menghadapi PRU15 itu.
“Sebulan untuk tengok dan jelaskan hala tuju, pasti. Namun, jentera kita sudah sedia. Cuma kita nak pastikan status 27 kerusi itu. PN akan terima kerana kita melihat ini (perbincangan) adalah satu opsyen yang ada.
“Bagaimanapun terpulang kepada BN, Pas terbuka untuk lihat jauh ke depan dari segi parti kerana kita sedia dari semua segi,” katanya.
Beliau juga menegaskan, satu jawatan kuasa rundingan kerusi dalam Pas sudah ditubuhkan di peringkat nasional untuk menyelesaikan isu dalam parti termasuk pengagihan kerusi bagi PRU15.
“Sesuatu yang pasti jentera parti sudah bersedia. Pada 3 September ini dalam Muktamar Pas kita akan lancar jentera parti,” katanya.
-Utusan Online