KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka akan melancarkan pemberian peranti di bawah Program Peranti Siswa kepada mahasiswa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) esok.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Perkara itu dikongsi Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa di Facebook rasminya hari ini.
“Insya-Allah, esok peranti akan mula diedarkan kepada mahasiswa universiti awam (UA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).
“Perdana Menteri akan melancarkannya pada jam 2.30 petang di UiTM Shah Alam,” katanya.
Beliau berkata, setiap penerima bakal mendapat model terkini tablet Samsung yang dilengkapi dengan pelindung, papan kekunci dan ‘stylus pen’.
“Tahniah kepada yang terpilih,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Annuar pada sidang Parlimen lalu berkata, kementeriannya memilih Samsung Galaxy Tab A8 LTE sebagai pilihan tablet yang akan diberikan dalam Program Peranti Siswa.
Katanya, pemberian tablet itu adalah melalui tender terbuka dan jangkaan 350,000 unit tablet akan diserahkan.
Menerusi Program Peranti Siswa, pelajar yang mengikuti program asasi dan matrikulasi di UA, pelajar Tingkatan Enam serta program diploma vokasional juga boleh memohon dalam program berkenaan sehingga 30 September ini.
BHonline-