MEDAN : Seorang remaja 12 tahun disahkan menghidap HIV akibat menjadi mangsa pemerkosaan ahli keluarga sendiri sejak bertahun-tahun.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Kisah menyayat hati itu didedahkan oleh Ketua Umum Perhimpunan Tionghoa Demokrat Indonesia (Pertidi), David Angdreas berdasarkan pengakuan mangsa.
Katanya, mangsa yang dikenali sebagai J tinggal bersama ibunya di Medan sejak lahir sehingga berusia tujuh tahun pada 2017.
Difahamkan, ibunya sudah bercerai dan mereka tinggal bersama kekasih wanita itu serumah.
“Ibunya bekerja pada waktu malam dan J sering ditinggalkan berdua bersama lelaki dikenali sebagai B.
“Dari pengakuan kanak-kanak itu, B adalah orang yang pertama kali memperkosanya. Tak lama kemudian, ibunya meninggal dunia.
“J kemudian tinggal bersama nenek dan datuk saudara dikenali sebagai CA. Di tempat baharu itu pula, J dicabuli CA,” katanya lapor CNN Indonesia.
Menurut David, disebabkan kejadian itu, CA diusir keluar dari rumah tersebut dan nenek mangsa mengajaknya ke Palembang untuk tinggal bersama keluarga lain.
Ayah mangsa pula dilaporkan lari dari rumah kerana terlalu banyak berhutang.
Tidak berapa lama selepas itu, J bersama neneknya kembali semula ke Medan dan tinggal bersama saudara lain dikenali sebagai A dalam tempoh dua tahun.
“Sepanjang tinggal di rumah itu, dia kerap mendapat layanan kasar bahkan kekerasan seksual. Suami kepada A juga pernah membogelkan J kerana dituduh mencuri.
“A adalah seorang pengasuh dan J memaklumkan dia bersama anak A diajak bertemu seorang lelaki. Selepas melayani lelaki itu, mereka diberi upah sebanyak 300,000 rupiah (RM91),” katanya.
David berkata, mangsa dan neneknya kemudian berpindah lagi dan tinggal di rumah kawan neneknya.
Namun, baru tiga bulan tinggal di rumah itu, dia mula mengalami sakit dan selepas menjalani pemeriksaan, remaja itu disahkan dijangkiti HIV.
Jelasnya, mangsa kini menjalani rawatan intensif di sebuah hospital di Medan.
-Utusan Online