TAIPEI: Taiwan akan membuka sepenuhnya sempadan negara dengan menamatkan perintah kuarantin wajib Covid-19 bagi ketibaan antarabangsa bermula bulan depan.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Taiwan sebahagian besarnya menutup sempadan negara dan melaksanakan peraturan kuarantin yang ketat sepanjang pandemik Covid-19 sehingga mampu mengekalkan jumlah kes jangkitan yang rendah.
Wilayah separa autonomi itu mula melangkah ke fasa peralihan endemik sebaik sahaja populasi negara itu lengkap divaksin.
Jurucakap Kabinet Lo Ping-cheng memetik Perdana Menteri, Su Tseng-chang sebagai berkata, pihak berkuasa akan memansuhkan arahan kuarantin mandatori bermula 13 Oktober depan.
Katanya, pihak berkuasa akan meminta para pengembara melakukan pemantauan kendiri selama tujuh hari.
Ketika ini, pengembara perlu menjalani kuarantin mandatori di hotel selama tiga hari, diikuti dengan pemantauan kendiri empat hari yang mana mereka perlu mengelak dari berada di tempat-tempat yang sesak.
Jelas beliau, perjalanan tanpa visa untuk pelancong dari negara tertentu akan disambung semula mulai 29 September ini.
Malah, katanya, larangan terhadap lawatan kumpulan pelancong juga akan ditarik semula pada bulan depan.
“Langkah baharu itu akan membolehkan orang ramai kembali ke kehidupan normal sepenuhnya.
“Taiwan akan membuka pintu sempadan negara bagi mengalu-alukan kedatangan pelancong dan semua industri menjadi lebih aktif dan makmur,” katanya.
UtusanOnline-