Pada 21 September lalu Akademi Percukaian Malaysia (APM) mengadakan Majlis Konvokesyen Ke-6 membabitkan seramai 362 graduan yang telah menamatkan pengajian dalam bidang percukaian.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Seramai 323 graduan Diploma Lanjutan Percukaian Profesional (DLPP), 11 graduan Diploma Lanjutan Perakaunan (DLP) dan 28 graduan Certified Tax Investigator Programme (CTIP).
Graduan ini terdiri dalam kalangan warga Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) selari dengan matlamat memberi latihan dan melahirkan pegawai HASiL yang cekap serta berkualiti.
APM berfungsi untuk mengendalikan aktiviti pembelajaran dan latihan dalaman melalui pelbagai program dalam bidang percukaian dan soft-skill untuk pegawai HASiL.
Begitu juga mengembangkan dan meluaskan perspektif percukaian dalam kalangan orang awam ke arah pematuhan cukai secara sukarela menerusi Program Pembelajaran Cukai.
Meskipun diploma APM bersifat dalaman, namun jangan salah faham berkaitan pengiktirafannya kerana pensijilannya adalah daripada sebuah institusi latihan percukaian yang dianggap terbaik dan dikenali di peringkat antarabangsa.
Mungkin ramai tidak tahu bahawa selain kursus dan latihan dalaman, APM juga melaksanakan kursus-kursus antarabangsa yang dianjurkan dengan kerjasama organisasi percukaian antarabangsa.
Berdasarkan info APM, ia termasuklah Commonwealth Association of Tax Administrator (CATA), Organisation for Economic Cooperation and Development (OECD), International Bureau of Fiscal Documentation (IBFD) dan Japan International Cooperation Agency (JICA)
Program dan kursus antarabangsa yang dijalankan bukan sahaja disasarkan kepada pegawai HASiL tetapi juga kepada pegawai-pegawai cukai dari negara-negara Association of South East Asian Nations (ASEAN).
Begitu juga negara-negara terpilih di Asia, Afrika, kawasan Kepulauan Pasifik dan negara-negara Komanwel yang lain. Penyertaannya turut dibuka kepada pegawai-pegawai dari Kementerian Kewangan.
Fokus latihan APM meliputi pelbagai topik termasuk percukaian antarabangsa, syarikat multinasional, perakaunan forensik, siasatan jenayah, e-dagang, penipuan dan kesedaran integriti, pindahan harga, perjanjian cukai dan pertukaran maklumat.
APM juga menjalankan program pembelajaran cukai untuk orang ramai terutamanya golongan profesional bagi meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mereka mengenai bidang cukai tertentu.
Hebat bukan. Ternyata APM meskipun bukan sebuah institusi pendidikan ternama seperti universiti awam mahupun swasta, tetapi ternyata ia berada pada standardnya yang tersendiri.
Seperti penegasan oleh Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, Datuk Dr. Mohd Nizom Sairi bahawa APM yang kini menginjak usia 28 tahun telah melalui pelbagai inisiatif yang progresif dan usaha yang berterusan dalam mengukuhkan kedudukannya.
Kecemerlangan itu terbukti apabila APM berjaya mencapai standard kualiti pendidikan bertaraf dunia menerusi persijilan MS ISO 9001:2015 dan turut diiktiraf sebagai Penyedia Latihan (Training Provider) daripada Human Resource Development Corporation (HRDC).
Tahniah HASiL dan tahniah juga kepada APM kerana telah berjaya melakukan lonjakan yang amat besar dalam mencapai visi dan misi menjadi sebuah institusi latihan percukaian kebanggaan negara
-Mynewshub