PONTIAN: Seorang bekas perunding kewangan sebuah bank mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menyalahguna wang dan menipu wang pelanggan membabitkan semuanya berjumlah RM615,809.50 antara Ogos 2018 hingga Mac 2020.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Bagaimanapun, Mohd. Shukery Suhimi, 33, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nur Azzuin Abdul Moati.
Bagi pertuduhan pertama, Mohd. Shukery didakwa menipu pelanggannya untuk mendaftar insurans simpanan berjumlah RM236,000.50 dalam dua akaun, namun duit berkenaan dikeluarkan tertuduh untuk kegunaannya antara Ogos 2018 hingga September 2019 di sebuah bank di Senai, Kulai.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun, berserta sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Pertuduhan kedua, Mohd. Shukery didakwa menyalahguna wang berjumlah RM379,809 milik seorang lagi pelanggannya antara Jun 2019 hingga Mac 2020 di lokasi sama.
Dia didakwa di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun berserta sebatan dan denda.
Peguam bela tertuduh, Nur Syuhadah Mahzan meminta anak guamnya dibebaskan dengan jaminan minimum kerana perlu menanggung ibu bapa dan seorang adik.
“Tertuduh kini bekerja sebagai ejen syarikat penapisan air dengan pendapatan RM5,000 sebulan,” katanya.
Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan selain menetapkan 28 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurezzati Zaini.
UtusanOnline-