Georgetown : Polis menyifatkan berita penculikan kanak-kanak dan penjualan organ manusia yang tular di media sosial kebelakangan ini sebagai tidak berasas dan sengaja menimbulkan kegusaran orang ramai.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kebanyakan kes didapati tidak benar dan disebarkan atas tujuan yang tidak pasti.
“Kecuali kes yang berlaku di Genting Highlands baru-baru ini yang sudah didakwa dan biar mahkamah menentukan kesahihannya,” katanya kepada pemberita di Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Marin ke-75 di Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1, Batu Uban di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Komander PPM Wilayah 1 Asisten Komisioner Shamsol Kassim.
Mengulas lanjut Acryl berkata, pihaknya menyeru rakyat Malaysia khususnya ibu bapa dan penjaga meningkatkan keselamatan anak masing-masing setiap masa.
“Memang benar, menjaga keselamatan digalakkan dan ia menunjukkan keprihatinan masyarakat semakin meningkat.
“Namun jangan sampai kita terbabit menyebarkan berita tidak benar yang boleh menggugat keamanan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Acryl Sani berkata, dari Januari hingga Ogos 2021, sebanyak 4,463 kes membabitkan kesalahan penyeludupan kontraban, migran, khazanah negara, dadah dan lain-lain berjaya dikesan oleh PPM seluruh negara dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM247juta.
“Manakala bagi tempoh sama pada tahun 2022 pula, sebanyak 5,103 kes direkodkan dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM292.6 juta.
“Peningkatan jumlah kes serta nilai rampasan bagi tempoh kajian ini membuktikan bahawa tindakan proaktif PPM membuahkan hasil,” katanya.
Menurut Acryl Sani lagi, PPM Wilayah turut mengalami pembaharuan serta pembangunan fizikal antaranya ialah Projek Pembangunan Markas PPM Wilayah 3 di Tok Bali, Bachok, Kelantan bernilai RM75 juta yang kini sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada Januari 2024.
“Begitu juga perolehan lima bot ronda Kelas Fast Patrol Craft sebagai aset ronda yang baharu bernilai RM100 juta selain itu Projek Pembangunan Markas Pangkalan Hadapan (Forward Operation Base) di Pulau Mabul, Semporna, Sabah bernilai RM45.5 juta dan dijangka siap pada Januari 2024 serta perolehan penggantian 214 unit enjin sangkut pelbagai kuasa kuda bagi PPM dan PDRM bernilai RM20 juta,” katanya.
-Harian Metro