MARANG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membekukan cuti 12,500 pegawai dan anggotanya bagi menghadapi kemungkinan banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL).
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, berkata pembekuan cuti bermula 7 November sehingga tamat musim MTL, yang mengakibatkan banjir.
Beliau berkata, arahan sudah dikeluarkan kepada pegawai dan anggota di semua 332 balai.
Pada masa sama, katanya, 1,900 aset marin, jentera dan kelengkapan menyelamat sudah bersiap siaga untuk menghadapi banjir, tahun ini.
“Bomba sudah mengenal pasti lokasi yang sering berlakunya kejadian banjir dan kawasan yang terjejas akibat fenomena air pasang di seluruh negara.
“Biasanya, negeri di pantai timur seawal bulan November, sudah mengalami banjir, diikuti Sabah, Sarawak dan Johor sebelum diikuti negeri lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Kawat Kecekapan JBPM Tahun 2022 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, di Wakaf Tapai Marang, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohammad Hamdan berkata, pihaknya juga mengenal pasti kawasan panas (hotspot) banjir baharu, yang dahulunya tidak terjejas dengan banjir.
Selain itu, beliau berkata, bomba juga melakukan pemantauan di kawasan cerun, lereng bukit, jeram dan kawasan rekreasi yang berisiko tinggi, bagi mengelak sebarang kejadian yang boleh membahayakan nyawa orang ramai.
Katanya, pemantauan berterusan itu dilakukan sejak September hingga Mac tahun depan iaitu sebelum kejadian banjir, ketika kejadian dan selepas banjir berlaku.
“Persiapan tahun ini dilakukan dengan lebih mantap berbanding tahun lalu, berdasarkan pengalaman banjir tahun lalu, bagi memperkemaskan lagi tahap kesiapsiagaan bomba.
“Kami bukan saja berperanan sebagai penyelamat dengan memindahkan mangsa banjir, malah bertindak sebagai agensi awal yang membawa bekalan makanan kepada mangsa yang terjejas.
“Oleh itu, ujian peralatan, latihan simulasi dan tugas pemantauan turut dilakukan dengan agensi berkaitan bagi memperkemaskan tahap kesiapsiagaan menghadapi monsun ini,” katanya.
Beliau berkata, pengurusan bencana di peringkat daerah amat penting kerana pihak terbabit lebih mahir dengan keadaan topografi di kawasan terbabit sebelum maklumat disalurkan kepada pasukan penyelamat.
Katanya, pihak terbabit juga mempunyai data penduduk seperti rumah yang ada penghuni Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas yang tinggal bersendirian dan keluarga yang tinggal jauh terpencil di sesebuah kampung.
Selain itu, katanya, lebih 13,000 bomba sukarela dan bomba komuniti juga bersiap siaga bagi menghadapi MTL.
“Mereka semuanya sudah dilatih dan turut mempunyai kelengkapan bagi memberi bantuan awal kepada mangsa banjir,” katanya.
BHonline-