SEREMBAN : DAP akan mengumumkan senarai calonnya bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di setiap negeri secara berperingkat, bermula minggu depan, kata Setiausaha Agungnya, Anthony Loke.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Beliau berkata, setakat ini, parti itu belum memuktamadkan calonnya yang akan bertanding pada pilihan raya umum itu.
“Kami belum memuktamadkan lagi calon. Negeri sudah menghantar cadangan mereka, kami akan membincangkan dan memuktamadkannya,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran jentera pilihan raya Parlimen Seremban, di sini, hari ini.
Sementara itu, Loke yang juga penyandang kerusi Parlimen Seremban, optimis dapat mempertahankan kerusi itu berdasarkan pengalaman lebih 18 tahun berkhidmat di kawasan berkenaan.
“Saya sudah lama berkhidmat di Parlimen Seremban iaitu dua penggal. Sebelum ini, sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak selama dua penggal,” katanya.
Pada PRU-14, Loke memenangi kerusi Parlimen Seremban dengan majoriti 30,694 undi, menewaskan calon dari MCA, Chong Sin Woon dan calon PAS, Shariffuddin Ahmad.
-Berita Harian