ANDES: Kementerian Alam Sekitar, Air dan Peralihan Ekologi Ecuador memaklumkan enam spesies baharu katak hujan dilaporkan ditemui di pinggir timur Andes, Ecuador.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Memetik laporan CNN, kementerian itu berkata, tiga penyelidik dari Universiti Katolik Pontifical Ecuador dan Institut Biodiversiti Kebangsaan menemui spesies mamalia itu di Llanganates dan Taman Negara Sangay.
Profesor Santiago Ron, seorang daripada tiga penyelidik menjelaskan, penemuan enam spesies baharu katak itu mengambil masa empat tahun dan terhasil semasa beberapa ekspedisi ke tempat terpencil di Hutan Amazon pada 2008, 2015 dan 2017.
“Selepas itu, kami menganalisis data dan menghasilkan penerbitan. Semua katak ditemui tergolong dalam kelompok Pristimantis yang merangkumi lebih daripada 569 spesies yang hidup di timur Honduras, Panama, utara Argentina dan Brazil,” katanya.
Menurut sebuah kajian mengenai penemuan yang diterbitkan dalam jurnal PeerJ, enam spesis katak itu berbeza dengan kebanyakan katak kerana tidak bergantung pada air untuk pembiakan dan bertelur di darat.
Ron juga berkata, mereka menamakan seekor daripada katak sebagai “Resistencia” (Penentang) sebagai tanda penghormatan kepada seorang pencinta alam sekitar yang maut di Amerika Latin kerana mempertahankan alam sekitar.
“Bagi tempoh 10 tahun ketika itu, Amerika Latin sudah menjadi wilayah paling berbahaya bagi pencinta alam sekitar,” katanya.
Memandangkan maklumat tentang populasi katak hujan ini masih tidak mencukupi, penyelidik menyarankan spesies baharu ini dimasukkan dalam kategori Kekurangan Data dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi – sistem mengklasifikasikan spesies berisiko tinggi pupus.
Untuk info, Ecuador memiliki 669 spesies amfibia, menjadikannya negara ketiga dengan spesies paling pelbagai di dunia selepas Brazil dan Colombia.
BHonline-