KUALA LUMPUR: Kerja-kerja pembaikan kerosakan eskalator dan lif di beberapa perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) dijangka dapat diselesaikan akhir tahun ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Rapid Rail Sdn Bhd dalam kenyataan hari ini memaklumkan, bagi stesen Monorel yang reka bentuk asalnya dibina tanpa lif, kerja sivil dan pemasangan fasiliti itu akan bermula secara berperingkat pada April 2023 dan dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2024.
Kenyataan itu turut memaklumkan, pembaikan lif dan eskalator tertakluk kepada penerimaan dan penghantaran alat ganti dari pihak pengilang asal (OEM) di Shanghai, China yang akan dilakukan secara berperingkat.
Operator perkhidmatan itu berkata, penerimaan kumpulan pertama dijangka bulan ini, diikuti kumpulan kedua pada pertengahan November manakala kumpulan ketiga pada minggu keempat November yang membabitkan 87 unit handrails dan 37 unit step chain.
“Rapid Rail mengambil maklum mengenai kerosakan eskalator dan lif di beberapa stesen rel ketika ini. Isu ini sememangnya dalam perhatian dan tindakan pihak syarikat.
“Kami akan memaklumkan status pembaikan dan pemasangan fasiliti secara berkala menerusi saluran media sosial dan media massa,” menurut kenyataan itu.
Setakat semalam, menurut Rapid Rail, sejumlah 22 daripada 362 unit lif tidak berfungsi dan 49 daripada 707 eskalator tidak berfungsi.
Syarikat itu menjelaskan, sebagai langkah jangka panjang, pihaknya telah melaksanakan program Condition Based Maintenance (CBM) iaitu proses mengganti komponen yang dinilai akan rosak atau kerap bermasalah akan terus dijalankan tanpa menunggu jangka hayat tamat.
Setakat ini, berdasarkan program itu, Rapid Rail menempah 192 unit handrails dan 22 unit step chains merangkumi semua laluan rel.
Bernama-