Masalah bekalan air yang berlanjutan selama empat hari di kawasan Pasir Gudang, Johor, bertukar menjadi isu politik apabila BN menggunakannya sebagai cara menarik sokongan orang ramai daripada Pakatan Harapan (PH).
Ikuti Mynewshub: Telegram
Gabungan itu – yang kini menjadi kerajaan negeri – menggerakkan jenteranya untuk membantu menghantar air kepada penduduk yang terjejas dan membuat hebahan mengenainya di media sosial.
Gangguan bekalan air bermula Jumaat lalu apabila paip pecah di kawasan Bandar Seri Alam.
Semakan di media sosial mendapati penyandang kerusi parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, membangkitkan isu itu kepada syarikat konsesi air Ranhill SAJ Sdn Bhd (SAJ) pada Sabtu.
Syarikat terbabit dikatakan memberi jaminan mereka ia menghantar lori air kepada pengguna yang terjejas.
Keesokan harinya, Hassan telah pergi ke tapak paip pecah.
Umno Pasir Gudang juga mula membangkitkan gangguan berkenaan pada Sabtu, dengan Adun Permas, Baharudin Mohamed Taib, menyatakan kebimbangan apabila tiada lori bantuan sampai ke kawasan terbabit.
Tekanan politik terhadap perkara itu meningkat apabila aduan dibuat kepada Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Ahad – yang kemudiannya menghubungi dengan SAJ.
Pada hari yang sama, BN mula menggerakkan jenteranya, dengan anggota parti memakai jaket dan kemeja-T parti terabit mengelilingi bandar untuk menghantar air kepada penduduk yang terjejas.
Ia bermula dengan trak pikap yang membawa tangki air sebelum akhirnya meningkat kepada lori tangki air.
Ini diikuti oleh hantaran media sosial mengenai usaha BN itu membantu penduduk Pasir Gudang, sambil menyindir lawan mereka.
Tak ada jadual bantuan
Dalam satu catatan yang diciap semula oleh Ketua Pemuda Umno Pasir Gudang, Azleen Ambros, seorang pekerja BN menyatakan bagaimana BN bekerja gigih membantu rakyat dalam apa jua keadaan.
“Beginilah khidmat dan bakti yang diberikan oleh jentera BN di Pasir Gudang. Walaupun hujan namun agihan air bersih tetap diteruskan.
“Jentera parti lain PH dan PN langsung tak nampak! Jadi jangan teragak2 untuk tolak PH dan PN dlm PRU ke-15” kata ciapan Mohd Khatim.
Pada masa sama PH sebaliknya tidak menghebahkan usaha bantuan yang diberikan mereka dengan baik dan berkesan di media sosial.
Setakat ini nampaknya hanya satu video yang menunjukkan kompilasi lawatan Hassan menemui penduduk terjejas sambil membantu membawa baldi air mereka.
Video yang sama turut menunjukkan Hassan dan PKR Pasir Gudang menghantar air ke satu kawasan terjejas – Taman Megah Ria – malam tadi.
Video itu nampaknya hanya disiarkan di Tiktok dan mempunyai kurang daripada 500 tontonan setakat berita ini ditulis.
Ketika dihubungi, Hassan tidak menolak kemungkinan kerajaan negeri – yang bertanggungjawab terhadap SAJ – mempolitikkan isu tersebut.
Dia juga mengkritik SAJ kerana dianggap tidak cekap menguruskan bantuan yang sepatutnya diberikan kepada penduduk terjejas.
Antara lain, Hassan berkata, SAJ tidak mengeluarkan jadual penghantaran air ke kawasan terjejas, malah selepas empat hari gangguan berlangsung, jumlah lori tangki air yang dihantar oleh syarikat konsesi itu masih tidak mencukupi.
“Saya mencadangkan SAJ menyewa lebih banyak lori tangki air persendirian. Cadangan itu diterima tetapi sehingga hari ini tiada apa-apa,” katanya kepada Malaysiakini.
Hassan menambah dakwaan SAJ bahawa bantuan tangki air dari Melaka akan membantu juga tidak menjadi kenyataan.
Bagi kerja-kerja membaiki paip pecah, Hassan berkata ia masih diteruskan.
Menurut Hassan exco Johor Mohd Fazli Mohd Salleh memaklumkan kepadanya bahawa punca paip pecah sudah dikenal pasti dan mereka kini sedang berusaha untuk mengepam air supaya kerja-kerja pembaikan dapat dilakukan.
Hassan berkata dua juga akan cuba mencari jalan untuk membantu.
“Saya akan pergi ke lokasi dan lihat apa yang boleh kita lakukan, saya akan cuba dapatkan kontraktor untuk membantu jika dibenarkan,” katanya.
Ahli politik mewakili PKR itu berkata Mohd Fazli memberi jaminan bahawa lori tangki air tambahan akan ditempatkan mulai hari ini.
PKR telah menawan Pasir Gudang daripada BN pada 2018 – dengan Hassan memperoleh majoriti 24,726 undi – mengalahkan bekas menteri besar Johor Khaled Nordin.
-Malaysia Kini