ALOR SETAR – Gerakan Tanah Air (GTA) masih kekal dengan sasaran untuk meletakkan calon di 120 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ikuti Mynewshub: Telegram
Timbalan Pengerusi Penaja GTA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, bagaimanapun angka tersebut mungkin berubah pada saat akhir sebelum penamaan calon pada 5 November.
Menurutnya, pengumuman berhubung semua calon bertanding bagi gabungan tersebut akan dilakukan pada 2 November ini dalam satu majlis pengenalan di ibu negara.
“Sasaran kami akan bertanding di 120 kerusi, namun angka itu akan dimuktamadkan kemudian. Mungkin lebih, mungkin kurang,” katanya selepas hadir pada program Rapat Umum GTA di sini pada malam Jumaat.
Mukhriz yang juga Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata, nama-nama calon juga akan diumumkan dari semasa ke semasa mengikut keperluan sebaik sahaja dimuktamadkan oleh kepimpinan tertinggi.
“Kita mungkin akan buat pengumuman (sebelum 2 November) beberapa calon terpilih, dua tiga orang di peringkat negeri atau Pusat,” katanya.
Dalam pada itu, Mukhriz berkata, setakat ini GTA kekal dengan sasaran bertanding di 10 kerusi Parlimen di Kedah termasuk di Alor Setar.
“GTA akan bertanding di Alor Setar. Siapa calon perlu tunggu dan lihat, nanti kita akan umum bila tiba masanya. Di Kedah kita berhasrat letak calon tidak kurang daripada 10 kerusi dan ia melibatkan GTA, bukan hanya Pejuang,” katanya.
Antara nama-nama besar yang dijangka menjadi taruhan GTA di Kedah ialah Timbalan Presiden Penaja Pejuang, Marzuki Yahya di Parlimen Sungai Petani dan Ketua Penerangan, Ulya Aqamah Husamudin yang dijangka bakal memberi saingan di Kuala Kedah.
Nama lain yang disebut-sebut antara calon popular termasuk Ketua Penaja Bahagian Alor Setar, Datuk Nuhairi Rahmat di Alor Setar.
Wakil NGO yang dijangka bakal memeriahkan PRU15 ialah Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff.
Ura-ura tersebut dikuatkan lagi dengan penampilan pertama beliau di pentas Rapat Umum GTA Kedah pada malam Jumaat sebagai pembuka sesi ceramah gabungan tersebut.
Sebelum ini, GTA mengumumkan lapan calon pertama gabungan tersebut termasuk Mukhriz di Parlimen Jerlun, Dr Mahathir (Langkawi), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (Titiwangsa), Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Datin Che Asmah Ibrahim (Sepang), Mior Nor Haidir Suhaimi (Tapah), Harumaini Omar (Hulu Selangor) dan Mohd Shaid Rosli (Kuala Selangor).
GTA ditunjangi Pejuang, Parti Putra Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).
-Sinar Harian