NEW DELHI – Bank Rizab India (RBI) dijangka memulakan pelancaran projek perintis Mata Wang Digital Bank Pusat (CBDC) atau e-rupee untuk penggunaan khusus dalam masa terdekat, lapor laman berita RT kelmarin.
Ikuti Mynewshub: Telegram
“Pada masa ini, kita berada di barisan hadapan untuk evolusi mata wang yang akan mengubah sifat wang dan fungsinya,” kata RBI dalam satu kenyataan.
Rupee digital adalah sama dengan mata wang kertas, namun mempunyai bentuk yang berbeza.
Ia boleh ditukar setara dengan nilai mata wang sedia ada dan akan diterima sebagai medium pembayaran, tender sah serta simpanan yang selamat, kata RBI.
“Konsep wang digital itu memerlukan perbincangan dari segi pemilihan teknologi dan reka bentuk, potensi penggunaan, mekanisme pengeluaran dan sebagainya,” tambah bank pusat tersebut.
RBI menjangkakan rupee digital akan mengurangkan kos pengeluaran wang dan transaksi kerana pengawal selia mata wang global kini berusaha untuk mempopularkan bentuk mata wang elektronik yang lebih boleh diterima di tengah-tengah pengurangan penggunaan wang kertas.
Antara ciri mata wang tersebut adalah CBDC runcit, yang bertujuan bagi penyelesaian pindahan antara bank dan transaksi borong yang berkaitan, berpotensi untuk digunakan oleh sektor swasta, pengguna bukan kewangan dan perniagaan.
Selain itu, CBDC borong mewakili versi elektronik tunai dan ditujukan terutamanya untuk transaksi runcit serta direka bentuk bagi menghadkan akses kepada institusi kewangan terpilih.
Rupee digital keluaran RBI akan mengembangkan ekonomi digital India, meningkatkan rangkuman kewangan, dan menjadikan sistem kewangan dan pembayaran dengan lebih cekap.
-Kosmo Online