JAKARTA: Jumlah kanak-kanak Indonesia yang meninggal dunia akibat kecederaan buah pinggang akut (AKI) meningkat kepada 133 orang berbanding 99 kes kematian yang dilaporkan sebelum ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan Indonesia, Budi Gunadi Sadikin.
Lapor Al Jazeera, pihak berkuasa kesihatan Indonesia sedang menyiasat peningkatan drastik kes kematian kanak-kanak akibat AKI yang dilaporkan sejak Januari lalu.
Malah, katanya, pihak berkuasa juga menghentikan penjualan semua jenis ubatan dalam bentuk cecair (sirap) buat sementara waktu.
“Kami mengenal pasti sebanyak 241 kes AKI di 22 wilayah dengan 133 kematian,” katanya dengan menyatakan kebanyakan pesakit merupakan kanak-kanak di bawah umur lima tahun.
Menurut Budi, tujuh daripada 11 kanak-kanak dikesan dengan kehadiran etilena glikol dan dietelena glikol.
Sebelum ini, Budi mendedahkan beberapa ubat sirap, yang terdapat di negara itu mengandungi etilena glikol dan dietelena glikol, iaitu bahan yang dikaitkan dengan kes kematian dalam kalangan kanak-kanak itu.
UtusanOnline-