KUCHING : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersedia membantu menghantar serta mengambil pengundi menunaikan tanggungjawab di pusat pembuangan undi sekiranya banjir berlaku ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, berkata bantuan khidmat khas itu akan dilaksanakan jika pihaknya menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau berkata, bantuan itu bukan saja akan disediakan oleh JBPM, malah beberapa agensi lain termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) juga akan melaksanakan tanggungjawab sama bagi memastikan keselamatan pengundi, selain memastikan proses demokrasi berjalan lancar.
“Kami bersama agensi lain yang berkaitan kecemasan dan keselamatan, sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam apa saja situasi.
“Dalam menghadapi banjir yang berkemungkinan berlaku ketika pilihan raya, kami bersedia menggerakkan aset terutama bot, bagi membantu membawa pengundi menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Seminar Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (Pindaan 2021), di sini, hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, dengan turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM, Datuk Edwin Galan Teruki; Pengarah JBPM Sarawak, Datuk Khirudin Drahman; Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Datuk Junaidi Reduan; serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Datuk Wee Hong Seng.
Mengulas lanjut, Mohammad Hamdan berkata, persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) diperkemaskan lagi selepas mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, 12 September lalu.
“Persediaan menghadapi MTL bermula sejak April lalu susulan kejadian banjir besar di beberapa lokasi seperti Taman Sri Muda, Shah Alam, Hulu Langat, Maran dan Bentong pada hujung 2021.
“Selain itu, persediaan berterusan juga dilaksanakan berikutan beberapa kejadian luar jangka seperti banjir kilat akibat fenomena kepala air serta tanah runtuh,” katanya.
Beliau berkata, persediaan terbabit dilakukan sepanjang tempoh enam luruan dengan yang pertama bermula pada Ogos lalu.
“Luruan kedua pula pada September, luruan ketiga (Oktober, November dan Disember), disusuli luruan keempat (Januari dan Februari).
“Luruan kelima pula dijangka berlaku pada Februari di Sabah Sarawak dan Johor, manakala luruan keenam MTL pada Mac depan. Melihat kepada situasi luar jangka yang berlaku, kita mengadakan persiapan rapi sepanjang masa, bukan hanya ketika menghadapi pilihan raya,” katanya.
Mohammad Hamdan berkata, pihaknya kini berdepan cabaran berikutan situasi bencana luar jangka, dengan banyak kejadian berlaku di kawasan bukan dikategorikan sebagai ‘hotspot’.
“Apa yang berlaku sekarang ialah dahulu sesebuah kawasan itu tidak pernah dilanda banjir dan ada juga yang tidak pernah berlaku tanah runtuh, namun tiba-tiba berlaku.
“Inilah yang memberi pengajaran kepada kita supaya bersedia sepanjang masa bagi mengenal pasti isu-isu baharu ketika bencana melanda,” katanya.
Sementara itu mengenai seminar hari ini pula, beliau berkata, ia bagi menjelaskan kepada peserta mengenai pindaan baharu terhadap klausa, tujuan serta justifikasi dalam Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (Pindaan 2021).
Seminar itu juga bagi menjelaskan pindaan terhadap Peraturan Perkhidmatan Bomba (Fi Tugas Khas 2021), serta meningkatkan pengetahuan berhubung pematuhan kehendak kebombaan dalam perakuan pelan bangunan.
-Berita Harian