Kuala Lumpur : Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 19 Oktober untuk mendengar permohonan Datuk Seri Najib Razak bagi mencabar keputusan Jabatan Penjara yang tidak membenarkan permohonannya untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid menetapkan tarikh itu selepas sebutan kes itu hari ini yang dihadiri Peguam Persekutuan M. Kogilambigai, yang bertindak bagi pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) manakala peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mewakili Najib.
Terdahulu, Kogilambigai memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau memerlukan sekurang-kurangnya seminggu untuk mengkaji permohonan bekas perdana menteri itu bagi kebenaran semakan kehakiman.
“Kami memerlukan masa untuk mengkaji penghujahan dan kami akan memaklumkan kepada mahkamah sama ada AGC akan mengemukakan sebarang bantahan berhubung perkara itu,” katanya sambil menambah tiada keperluan mendesak berhubung perkara itu kerana Parlimen telah dibubarkan dua hari lalu.
Sebaliknya, Muhammad Shafee berkata, perkara itu amat mendesak kerana terdapat isu perundangan yang serius yang akan ditentukan oleh mahkamah, termasuk sama ada Najib boleh dicalonkan dan hadir di pusat penamaan calon yang mana beliau akan bertanding.
“Saya cadangkan agar permohonan itu didengar pada Jumaat ini (14 Oktober),” kata peguam itu.
Pada 5 Oktober lalu, Najib, 69, memfailkan permohonan menamakan kerajaan, Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara sebagai responden pertama hingga ketiga.
Dalam permohonannya, Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah untuk membatalkan keputusan responden ketiga (Komisioner Jeneral Penjara) yang tidak membenarkannya mengakses kepada pegawai/pembantunya bagi tujuan kerja-kerja Parlimen, perundangan dan pengundi kawasannya.
Najib juga memohon perintah untuk mengetepikan keputusan responden ketiga itu yang tidak membenarkannya menghadiri Parlimen pada tarikh persidangan yang dijadualkan.
Dalam afidavit sokongannya, Najib berkata, keputusan responden pertama dan ketiga yang menolak permohonannya atas alasan keselamatan telah disampaikan kepadanya melalui Pejabat Penjara Kajang pada 28 September.
Najib juga menyatakan bahawa keengganan responden pertama dan ketiga untuk membenarkannya mengakses kepada pegawai dan pembantunya bagi tujuan perkara berkaitan Parlimen serta pengundinya dan tindakan tidak diambil oleh responden kedua adalah tindakan tidak munasabah atau tidak rasional.
Najib berkata, menurut Perkara 59 Perlembagaan Persekutuan, beliau mempunyai kewajipan perlembagaan untuk melaksanakan tugasnya dengan berkesan dan sebagai Ahli Parlimen dalam mewakili pengundi Pekan.
-Harian Metro