ALOR SETAR: Kerajaan negeri kesal dengan penganjuran konsert diadakan di dataran berhadapan Masjid Zahir di sini, yang menjejaskan nama baik Kedah yang dipimpin oleh PAS.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Najmi Ahmad, berkata pihaknya difahamkan acara itu dianjurkan oleh pihak tertentu dan mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa.
“Program itu dianjurkan bermula sejak pagi dengan aktiviti yang disusun oleh penganjur. Pagi itu semua nampak ok dengan ada jualan dan sebagainya, tetapi di penghujung program ada konsert.
“Pengisian seperti ini amat tidak wajar dan mencemarkan nama baik kita (kerajaan negeri), kita tercalar dengan acara itu. Konsert tidak boleh dibuat di dataran itu kerana di hadapannya masjid, manakala di belakangnya pula pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK),” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai video yang tular hari ini memaparkan aksi penonton persembahan muzik sedang melompat dan menari di dataran terbabit.
Acara itu mengundang rasa kurang senang dalam kalangan orang ramai memandangkan ia diadakan tidak jauh dari Masjid Zahir.
Najmi berharap pihak berwajib yang mempunyai kaitan membenarkan penganjuran festival dan konsert itu supaya lebih berhati-hati pada masa akan datang dan memantau program yang dianjurkan.
“Dataran itu sepatutnya dianjurkan dengan program bermanfaat dan pengisian yang baik serta bersesuaian, bukan penganjuran persembahan muzik atau konsert,” katanya yang sudah meminta JHEAIK melakukan siasatan berhubung penganjuran konsert itu.
Sementara itu, Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Zaid Ahmad, berkata Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen kepada pihak penganjur untuk mengadakan konsert di dataran berhampiran Masjid Zahir.
“Lesen hiburan di bawah bidang kuasa Pejabat Daerah Kota Setar. Pihak saya akan menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara ini, termasuk memanggil penganjur untuk mendapatkan penjelasan,” katanya.
BHonline-