KUALA LUMPUR : Kementerian Kerja Raya perlu memberi penjelasan terperinci dan memastikan sebarang hutang berkaitan projek Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), yang dibuka baru-baru ini, diselesaikan.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata beliau tiada maklumat lengkap berhubung perkara itu, namun sebarang hutang berkaitan projek itu perlu dijelaskan pihak yang berkepentingan.
“Mesti ada sebab bayaran itu tidak dijelaskan dan walaupun selepas projek itu siap, kita harus melihat sama ada ia memenuhi kepuasan kementerian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan konvensyen sempena Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu dakwaan hutang berjumlah lebih RM80 juta, yang belum dibayar kepada sebilangan subkontraktor projek DASH, menyebabkan subkontraktor terbabit mengalami masalah.
Lebuh raya DASH sepanjang 20.1 kilometer dengan 13 persimpangan keluar masuk dibuka mulai 12.01 tengah malam, Jumaat lalu.
Persimpangan itu ialah di Puncak Perdana, Alam Suria, Denai Alam, Kampung Melayu Subang, Pinggiran Subang, Subang Dua, Subang Airport, RRIM (Kwasa Damansara), Surian, Seksyen 5 Kota Damansara, Sunway Damansara, Damansara Perdana dan Penchala.
DASH menghubungkan tiga lebuh raya utama iaitu Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT).
-Berita Harian