SEOUL: Kebanyakan acara dan perarakan sambutan Halloween serta persembahan bintang K-pop dibatalkan ketika Korea Selatan berkabung atas kematian sekurang-kurang 153 mangsa dalam tragedi rempuhan di Itaewon, lapor agensi berita Yonhap yang memetik pihak penganjur dan kerajaan, hari ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Sekurang-kurang 103 mangsa lagi cedera akibat kejadian yang berlaku di lorong sempit menuruni bukit, semalam, selepas puluhan ribu orang berkunjung ke kawasan itu sempena Halloween.
Kerajaan Korea Selatan menetapkan tempoh berkabung nasional, bermula hari ini hingga Sabtu depan, selain mengarahkan bendera di bangunan kerajaan dan pejabat awam dikibarkan separuh tiang.
Agensi kepada ‘superstar’ BTS, Big Hit mengumumkan bakal menangguhkan semua aktiviti dijadualkan bagi pelancaran debut solo Jin, ‘The Astronaut’ yang turut menampilkan kumpulan rock Britain, Coldplay.
SM Entertainment yang mengendalikan artis seperti Girls’ Generation, EXO, Super Junior, NCT dan aespa pula mengumumkan acara Halloween yang dijadualkan pada hari berkenaan, turut dibatalkan.
Selain itu, jenama fesyen Gucci memaklumkan akan membatalkan pertunjukan fesyen yang dijadualkan berlangsung di Seoul pada Selasa depan.
Festival OneAsia Busan yang dijadual diadakan di bandar Busan dengan menampilkan beberapa bintang K-pop dan dijangka dihadiri hampir 40,000 pengunjung pada Ahad depan, juga dibatalkan.
Malah, taman hiburan Legoland di Chuncheon tidak ketinggalan membatalkan perancangan pihaknya untuk mengadakan sambutan Halloween.
Kebanyakan pusat beli-belah di seluruh negara ini juga membatalkan acara Halloween, dan menanggalkan hiasan serta poster yang mempromosikan program berkenaan.
BHonline-