Kuantan : Notis pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada tengah hari tadi, kata Yang Dipertua DUN Datuk Seri Ishak Muhamad.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Notis tersebut diserahkan kepada Pengarah SPR Pahang Datuk Zamree Hamli di Wisma Sri Pahang di sini, selepas Ishak menerima Watikah Pengisytiharan Pembubaran DUN ke-14 daripada Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Watikah itu ditandatangani Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang menjalankan kuasa diberikan kepada baginda di bawah Fasal (2) Perkara 26 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang.
Terdahulu, Wan Rosdy pada sidang media khasnya mengumumkan keputusan kerajaan negeri membubarkan DUN ke-14 hari ini, bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak bersama Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pada pilihan raya umum lalu, BN menang 25 daripada 42 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan (sembilan) dan PAS (lapan).
-Harian Metro