BANK Dunia melalui kajian menyeluruh mereka meramalkan kemelesetan ekonomi global hampir pasti berlaku pada 2023.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Kemelesetan global bermakna Malaysia juga tidak akan terkecuali.
Antara penyebab kelemahan ekonomi sejagat menurut Bank Dunia ialah, belum pernah ada begitu banyak bank pusat pelbagai negara menaikkan kadar faedah secara serentak dalam beberapa dekad seperti yang sedang berlaku sekarang.
Untuk tahun ini dan tahun depan, pelbagai negara menaikkan kadar faedah sebagai cara untuk mengawal inflasi yang seterusnya membawa kepada kesan negatif ke atas pertumbuhan ekonomi.
Kemelesetan bermaksud kehilangan pekerjaan, penurunan pelaburan dan kejatuhan nilai matawang serta bursa.
Jika diperhatikan, perkara-perkara itu terutama dari aspek kelemahan matawang dan Bursa Malaysia sudah pun bermula dari sekarang.
Apakah Malaysia bersedia?
Satu aspek yang paling penting harus diberikan penekanan ialah dari segi politik yang stabil serta kerajaan yang kukuh, perkara yang Malaysia memang tidak ada waktu ini.
Komponen kerajaan campuran yang ada umpama suami isteri tidak bahagia yang bergaduh siang malam dan menanti peluang untuk bercerai.
Masing-masing cuba curang dengan orang lain.
Andai politik kita tidak diperbetulkan segera, maka negara berpotensi berdepan dengan masalah ekonomi dan sosial yang amat teruk pada tahun hadapan.
Kita harus selesaikan masalah itu segera sebelum melangkah ke tahun yang penuh mencabar yakni 2023.
Ramalan Bank Dunia jangan dipandang enteng.
Kemelesetan ekonomi adalah umpama ribut yang bakal melanda.
Bila kita tahu ribut bakal menjelma, maka kita harus bersedia sebelum ia melanda.
Kalau kita cuba bersedia di kala ribut sudah pun bermula, apa satu benda pun dah tak sempat dan tak guna buat.
Kita perlu mengadakan pilihan raya umum ke-15 sekarang.
Rakyat harus memilih kerajaan mana yang mereka rasakan sesuai untuk berdepan dengan ribut ekonomi yang bakal melanda.
Pemilihan harus dibuat segera agar sebuah kerajaan yang stabil dapat memimpin negara berdepan permasalahan tahun 2023 yang dijangka Bank Dunia sebagai tahun yang amat mencabar.
Kalau tahun depan kita baru terhegeh-hegeh hendak membuat pilihan raya, bermakna kita umpama membuat persiapan ketika ribut sudah pun melanda.
Bukan sahaja kita tidak akan mampu bersedia, malah kita akan ‘cedera lebih parah’ nanti.
Tuntut PRU-15 sekarang kerana kita tidak banyak pilihan.
Kita perlu melangkah dengan kerajaan yang mempunyai majoriti dua pertiga dan kukuh. Bukan kerajaan sekarang yang bercakaran sesama sendiri sepanjang masa.
Andai berterusan mengabaikan amaran Bank Dunia, kita menuju kepada bencana yang kita sendiri tidak mampu duga akan tahap kemusnahannya.
-Mynewshub