PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan mengesyorkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilaksanakan pada hari Sabtu agar tidak mengganggu pengoperasian sekolah.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menterinya, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pelaksanaan hari mengundi pada hari cuti hujung minggu memudahkan semua pihak membuat persiapan terutamanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Kalau buat pada Ahad pun (turut terjejas) kerana ada negeri yang bersekolah. Bagaimanapun kita tidak tahu tarikh yang akan ditetapkan SPR. Tetapi kalau hari bersekolah, maka sesi persekolahan akan terjejas untuk hari tersebut.
“Persediaan untuk menyediakan tempat bukan sehari, malah ia ambil masa lebih awal sehari sebelumnya. Jadi hari pengundian pada hari Sabtu memudahkan semua pihak termasuk sekolah dan ibu bapa.
“Jadi perkara ini SPR tentu lebih maklum dalam membuat keputusan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan pelepasan peserta Petronas Le Tour de Langkawi peringkat Putrajaya-Genting Highlands di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas berhubung jangkaan hari pengundian yang ada kemungkinan dilaksanakan pada hari biasa sebagaimana PRU14 lalu apabila ia diadakan pada hari Rabu.
Dalam pada itu, mengulas mengenai pelaksanaan kenaikan kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang akan dilaksanakan pada bulan ini, Radzi berkata, perkara itu tidak akan terjejas walaupun berlaku pembubaran Parlimen.
Ini sebagaimana diumumkan menerusi pembentangan Bajet 2023 baru-baru ini yang mana pelaksanaan kadar makanan bermasak RMT daripada RM2.50 sen kepada RM3.50 untuk Semenanjung dan RM3 kepada RM4 bagi Sabah, Sarawak dan Labuan akan berkuat kuasa pada bulan ini.
Bagaimanapun, kata beliau, cara pendekatan pelaksanaan kenaikan kadar itu akan dibincangkan dan diperincikan bersama pihak Kementerian Kewangan.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2023 mengumumkan kenaikan kadar baharu RMT berkuat kuasa bulan ini membabitkan peruntukan sebanyak RM777 juta.
Penambahbaikan program RMT dijangka memberi manfaat kepada 800,000 murid dan 7,300 pengusaha kantin sekolah.
UtusanOnline-