PUTRAJAYA : Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin yakin bahawa pengundi di kawasan tersebut akan melihat PN sebagai satu pilihan yang lebih baik berbanding parti lain pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ikuti Mynewshub: Telegram
Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, sekiranya diberi kepercayaan dan mandat oleh rakyat, beliau akan melonjakkan lagi potensi pusat pentadbiran kerajaan itu ke satu tahap yang lebih tinggi.
“Saya pernah duduk di bandar pentadbiran, Canberra di Australia selama tujuh tahun dan kita boleh lihat bagaimana bandar pentadbiran ini boleh dilonjakkan lagi potensi dan ruangnya bagi memastikan seluruh warga dalam komuniti tersebut mendapat yang terbaik selain daripada pembangunan masyarakat.
“Putrajaya ini sebuah bandar pentadbiran, kerajaan mana yang datang sekali pun ia merupakan sebuah bandar yang terancang namun begitu kita sedar banyak lagi perkara yang perlu ditambah baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bengkel Penulisan Cerpen dan Penerbitan Antologi Cerpen Penulis Cilik Peringkat Kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 16(1) di sini hari ini.
Rabu lalu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin mengumumkan Radzi sebagai calon gabungan itu bagi kerusi Parlimen Putrajaya pada PRU15, 19 November ini.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, pengumuman itu menjawab pelbagai khabar angin yang bertiup selama ini.
Dalam pada itu, Radzi memaklumkan beliau juga sudah biasa bergaul dengan komuniti setempat sejak menetap di Presint 10, lebih empat tahun yang lalu.
“Saya banyak bergaul khususnya dengan jawatankuasa masjid dan surau, kepimpinan masyarakat, persatuan penduduk dan persatuan sukan di samping hubungan dengan kakitangan awam sewaktu di Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Pendidikan (KPM).
“Sewaktu di KPM, ia memberi ruang sebaiknya untuk saya menyantuni pengundi sepanjang empat tahun yang lalu,” ujarnya.
Kata Radzi lagi, beliau sering mendengar masalah-masalah dihadapi oleh penduduk setempat hasil pertemuan serta perbincangan yang dijalankan.
“Ramai yang kata penyelenggaraan kuarters tidak diberi perhatian untuk satu tempoh yang panjang, isu pengangkutan awam kerana ketiadaan bas dan isu berkaitan tempat meletak kenderaan.
“Kalau dulu anak-anak pergi ke sekolah dengan bas, sekarang ini mak ayah kena hantar sebab tiada bas di Putrajaya. Ini merupakan antara perkara yang sentiasa disampaikan kepada saya sewaktu bertemu dengan warga di sini,” katanya.
Ditanya mengenai manifesto yang akan diketengahkan oleh PN, Radzi berkata, gabungan tersebut akan melihat perkara itu secara menyeluruh dengan menekankan konteks prihatin, bersih dan stabil.
Jelasnya, gabungan tersebut turut mempunyai ‘track record’ yang baik di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin terutama ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19.
“Banyak perkara yang kita lihat secara menyeluruh yang merangkumi semua segmen masyarakat bagi memastikan bila kita membentuk kerajaan kita bersedia.
“Jika diizinkan membentuk kerajaan, perkara pertama yang ingin kita lihat adalah bagaimana cabaran yang dihadapi oleh negara dan rakyat dan pendekatan untuk melonjakkan negara ini ke tahap lebih tinggi,” ujarnya.
-Utusan Online