BAITULMUQADDIS – Beratus-ratus penduduk Palestin mengadakan protes di pos-pos pemeriksaan Israel menghala ke sebuah kem pelarian utama di kota Baitulmuqaddis kelmarin, manakala kedai-kedai di seluruh wilayah Tebing Barat ditutup, lapor stesen penyiaran NBC News.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Bantahan itu diadakan berikutan tindakan ganas pasukan keselamatan Israel ke atas penduduk Palestin selepas dua askar Rejim Zionis mati dalam pertempuran pada minggu ini.
Awal minggu ini, pasukan keselamatan Israel mula memburu individu yang didakwa membunuh seorang askarnya.
Anggota tentera berkenaan ditembak ketika bertugas di pos pemeriksaan di luar kem pelarian Shuafat, pinggir bandar Baitulmuqaddis.
Kem Shuafat yang menempatkan kira-kira 60,000 pelarian Palestin telah dikepung selama beberapa hari ketika polis Israel menggeledah kediamanan dan jalan-jalan bagi mencari penembak tersebut.
Kelmarin, barisan kereta yang panjang dilihat di pusat-pusat pemeriksaan yang menghala keluar dari kem tersebut.
Dalam masa sama, kumpulan-kumpulan remaja membaling batu ke arah polis Israel serta membakar tong sampah, menyebabkan kepulan asap memenuhi ruang udara.
Banyak kedai di Baitulmuqaddis Timur dan sebahagian Tebing Barat turut ditutup sebagai tanda protes, manakala sekolah-sekolah turut mengarahkan pelajar agar berada di rumah.
“Protes ini adalah sebagai tanda solidariti dengan kem pelarian Shuafat serta bagaimana ia dikendalikan.
“Nampaknya, ia (protes) akan menjadi permulaan kepada kempen pengingkaran, marilah kita berharap yang terbaik,” kata seorang penduduk Palestin, Khaled Alqam.
Siri bantahan itu berlaku semasa situasi tegang berlarutan selama berbulan-bulan di Tebing Barat selepas Rejim Zionis memulakan keganasan pada lewat Mac lalu.
Sejak itu, tentera Israel menyerbu dan melancarkan serangan ke atas penduduk Palestin di bandar-bandar seperti Nablus serta Jenin dan ia berlaku hampir setiap hari.
Keganasan tentera Israel itu meningkatkan kemarahan belia Palestin yang kemudian membalas dengan melempar batu serta bom petrol.
-Kosmo Online