Kuala Terengganu : Teka-teki pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri diterajui Pas iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah dijangka terjawab esok.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Naib Presiden Pas Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pimpinan Pas Pusat dijangka membuat pengumuman mengenai perkara itu selepas mesyuarat Jawatankuasa Penuh Pas Pusat di Kuala Lumpur.
Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu enggan mengulas lanjut kerana tidak mahu mendahului parti.
“Saya difahamkan perkara yang dibincangkan semalam (isu pembubaran DUN) akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Penuh PAS Pusat pagi esok.
“Saya tak boleh bagi ‘hint’ nanti saya mendahului mesyuarat pula jadi biar lepas mesyuarat esok (dan) saya percaya mesti ada kenyataan di Pejabat Agong Pas.
“Itu hanya ‘endorsement’ pada perbincangan semalam dan insya-Allah, tidak ada perbincangan baharu lagi selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agong Koperasi Pegawai Tadbir Negeri Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rhu Rendang berkata, Pas Pusat akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat dengan parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, ia membabitkan perbincangan berkaitan pilihan raya termasuk soal pembahagian kerusi di antara parti komponen di dalam PN.
“Di peringkat negeri boleh mengambil langkah masing-masing sebenarnya untuk mengadakan perbincangan dengan kepimpinan di peringkat negeri.
“Tetapi kata putus sama ada calon atau kerusi (atau) yang mana bertanding bukan di peringkat negeri (yang buat keputusan) tetapi di peringkat pusat,” katanya
Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan Sabtu lalu memutuskan tiga negeri yang dikuasainya, Kelantan, Kedah dan Terengganu tidak akan membubarkan dalam masa terdekat.
Beliau menjelaskan keputusan itu dibuat bagi membolehkan segala usaha ditumpukan kepada persiapan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka pertengahan November hingga Mac 2023.
-Harian Metro