LONDON: Perdana Menteri baharu Britain, Rishi Sunak dan keluarganya memilih untuk tinggal di pangsapuri di atas nombor 10 Downing Street, biarpun memiliki rangkaian hartanah mewah termasuk di London.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Perkara itu disahkan jurucakap pejabat Sunak walaupun portfolio hartanah Sunak yang dilaporkan termasuk sebuah penthouse di California, sebuah pangsapuri eksklusif di daerah Kensington di London serta sebuah rumah agam di kawasan pilihan rayanya di Yorkshire di utara England.
“Mereka akan berpindah ke pangsapuri No 10 Downing Street,” kata jurucakap itu, sambil menambah tidak mengetahui sama ada mereka mempunyai sebarang rancangan untuk mengubah suai semula kediaman itu.
Bekas Perdana Menteri Britain, Boris Johnson sebelum ini berdepan kritikan hebat atas tindakannya mengubahsuai secara mewah kediaman itu, termasuk menempatkan gulungan kertas dinding serta perabot mahal.
Perpindahan Sunak ke sana akan menandakan kembalinya pangsapuri itu sebagai kediaman rasmi Perdana Menteri Britain di London.
Secara tradisinya, pemimpin British tinggal di pangsapuri di atas nombor 10 Downing Street. Bangunan utama yang terletak di atasnya adalah kediaman rasmi dan pejabat Perdana Menteri.
Canselor Perbendaharaan biasanya tinggal di pangsapuri lebih besar di atas No 11 Downing Street.
Bagaimanapun, ketika Tony Blair dan Gordon Brown menjadi Perdana Menteri dan Canselor, mereka bertukar kediaman untuk menampung jumlah keluarga Blair yang ramai.
Malah baru-baru ini, Sunak berpindah dari pangsapuri itu selepas tinggal disana ketika menjadi Menteri Kewangan dibawah Johnson, sehingga meletak jawatan pada Julai.
Ditanya mengapa dia memilih untuk tinggal di No 10 dan bukannya di pangsapuri No 11 yang lebih besar, jurucakap itu berkata mereka sangat gembira di sana.
Sebelum berkahwin dengan anak perempuan jutawan India pada 2009, Sunak bekerja di syarikat pengurusan pelaburan Goldman Sachs dan dua dana lindung nilai yang menguruskan wang pelabur-pelabur swasta.
Isterinya, Akshata Murty memiliki kepentingan yang besar dalam syarikat perisian milik bapanya, Infosys.
Pasangan itu berada dalam senarai terkaya The Sunday Times, dengan nilai bersih 730 juta pound (RM3.9 bilion). Perdana Menteri British itu juga menggunakan kediaman negara, Chequers.
BHonline-