Berita tentang Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong melegakan jutaan ahli UMNO.
Ikuti Mynewshub:Â Telegram
Bagaimanapun tiada tarikh tepat pembubaran dimaklumkan kepada umum. Mungkin taktikal UMNO untuk mengelak diketahui oleh musuh politik lebih awal.
Atau barangkali memang tiada tarikh ditetapkan kecuali Ismail Sabri sekadar berjanji akan
mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong. Bila adalah perogatif (hak mutlak) beliau sebagai PM.
Jika kemungkinan kedua yang berlaku dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi, maka ahli UMNO belum boleh menarik nafas lega sepenuhnya berdasarkan rekod sikap Ismail Sabri depan ahli cakap lain, belakang cerita lain.
Itu perkara berkenaan isu tarikh PRU-15, tetapi perihal penting yang perlu juga dihuraikan adalah persiapan UMNO untuk berdepan PRU-15. Benarkah UMNO telah bersedia atau masih ada yang perlu diselesaikan?
Satu perkara yang amat penting untuk diselesaikan terlebih dahulu adalah berkenaan isu Ismail Sabri akan kembali dilantik sebagai Perdana Menteri jika UMNO menang.
UMNO jangan buat leceh dalam soal ini. MKT UMNO jangan berpura-pura tidak tahu majoriti akar umbi UMNO tidak menyokong barisan kepimpinan Ismail Sabri dalam kerajaan.
Andai perkara ini diambil mudah nescaya buruk padahnya. Boleh melemahkan semangat dan moral ahli UMNO selepas jiwa mereka amat terusik dengan tingkah laku Ismail Sabri sebelum ini.
Tentunya anggota Kabinet yang akan membarisi kerajaan selepas PRU-15 adalah sosok-sosok yang banyak menyanggah ketetapan UMNO jika beliau kembali diangkat sebagai Perdana Menteri.
Nama-nama seperti Annuar Musa, Khairy Jamaluddin, Shahidan Kassim, Tajuddin Abdul Rahman, Nazri Aziz akan kembali mendapat tempat dalam pentadbiran kerajaan baharu.
Lebih membimbangkan jika musuh UMNO kembali mendapat jawatan Kabinet melalui pelantikan senator dengan alasan khidmat mereka diperlukan untuk meneruskan dasar kerajaan Keluarga Malaysia.
MKT UMNO perlu mendengar denyut nadi ahli akar umbi yang mahukan pemimpin selain Ismail Sabri yang setia kepada perjuangan parti menjadi calon Perdana Menteri.
Pilihan utama mereka setakat ini adalah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang merupakan Pengarah Pilihan Raya UMNO.
Beliau tidak pernah belot perjuangan UMNO sebaliknya menawarkan diri menjadi Timbalan Presiden semasa parti itu sedant hilang sokongan majoriti rakyat.
Malah kerana usaha, kebijaksanaan dan strategis Tok Mat sebagai pengarah pilihan raya memenangkan UMNO dalam banyak pilihan raya sebelum ini.
Semasa PRN Melaka dan Johor, beliau yang bertungkus lumus berkempen, mengatur gerak kerja UMNO sehingga kedua-duanya memperoleh kemenangan mutlak.
Perdana Menteri dan anggota Kabinet daripada UMNO ketika itu tidak nampak bayang atau mungkin cuma sekali dua kelibat mereka muncul kerana terlalu menjaga kedudukan di Putrajaya.
Itu pun bukan turun berkempen dengan memakai baju BN, sebaliknya hadir atas tiket anggota Kabinet untuk melakukan lawatan kerja atau menziarahi kawan.
Tiada apa yang diumumkan oleh mereka untuk pengundi yang boleh memanfaatkan UMNO.
Sedangkan musuh UMNO yang menganggotai kerajaan menggunakan sehabis baik portfolio masing-masing untuk berkempen buat parti mereka.
Jadi MKT UMNO perlu jelas tentang isu ini. Usah mengelak ia dibicarakan kerana kelak UMNO jua yang rugi demi mempertahankan yang tidak sepatutnya.
-Mynewshub