Johor Bahru : Polis menasihati orang ramai supaya memberi ruang kepada siasatan dan menyerahkan kepada mahkamah susulan kejadian menimpa seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang maut akibat tertusuk pisau semalam.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata ini kerana ia menimbulkan pelbagai reaksi orang ramai.
Beliau berkata, pihaknya juga menasihatkan orang ramai juga menunggu keputusan mahkamah.
“Setakat ini suspek sudah ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan. Proses bedah siasat juga sedang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA),” katanya ketika dihubungi.
Diminta mengulas berkaitan sebuah video tular yang memaparkan seorang kanak-kanak lelaki mendakwa melihat kejadian itu, Rahmat Ariffin berkata, semua pihak seharusnya berserah kepada siasatan polis dan tunggu keputusan mahkamah.
Menerusi video berkenaan, kanak-kanak lelaki berkenaan mendakwa ketika dia mahu ke sekolah agama, dia melihat kakak pertamanya dan ‘Haikal’ bergaduh.
Kanak-kanak berkenaan juga mendakwa ‘Haikal’ yang mengalami kecederaan melarikan diri dengan badan berlumuran darah serta tidak dapat diselamatkan.
Bagaimana kesahihan video berkenaan masih menjadi tanda tanya berikutan tiada sebarang pengesahan dari pihak polis mahupun keluarga mangsa.
Semalam, media melaporkan mangsa berusia 16 tahun disahkan meninggal dunia pada 2.30 petang semalam dipercayai tertusuk pisau dibaling kakaknya di Kampung Ulu Pulai, Ulu Choh di sini.
Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham akibat berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah.
-Harian Metro