KUALA NERANG : UMNO Bahagian Padang Terap meluluskan usul menyokong penuh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terus menerajui kepimpinan negara sebagai Perdana Menteri.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, UMNO bahagian itu turut meluluskan usul memberi kepercayaan kepada Presiden Parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta kepimpinan menyusun strategi memperkukuhkan UMNO.
Katanya, usul berkenaan diluluskan dalam Mesyuarat Agung Perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap di Pusat Komuniti Padang Kerasak, di sini, petang semalam.
“Alhamdulillah, UMNO Padang Terap mencapai kata sepakat dengan ketetapan terbabit yang menandakan keyakinan teguh seluruh kepimpinan Bahagian Padang Terap untuk melihat UMNO terus diperkukuhkan.
“Kepimpinan dan seluruh ahli-ahli UMNO Padang Terap juga mencapai kata putus itu selaras dengan situasi semasa iaitu untuk menghadapi pilihan raya umum yang bakal menjelang tidak lama lagi”, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mahdzir berkata UMNO bahagian itu juga meluluskan usul akan bertegas dalam menangkis sebarang usaha oleh mana-mana pihak yang boleh mengundang campur tangan asing dalam hal ehwal negara ini.
“UMNO Padang Terap berpandangan, walaupun di dalam apa jua bentuk dan alasan, kita tidak boleh membiarkan campur tangan asing dalam urusan negara kerana kita mampu membentuk negara kita berdasarkan acuan dan hala tuju kita sendiri, ” katanya.
Selain itu, beliau berkata UMNO Padang Terap juga meluluskan usul memerangi sebarang bentuk penyebaran dan dakyah yang tidak bertanggungjawab serta penyalahgunaan media sosial, cetak dan elektronik sebagai medan penyebar fitnah, propaganda dan adu domba.
Turut diluluskan, usul supaya bersiapsiaga menghadapi PRU15 dengan penuh iltizam, cekal dan sehati sejiwa tanpa sebarang prasangka di semua peringkat kepimpinan dan ahli sama ada di pusat, negeri, bahagian dan cawangan.
“UMNO Bahagian Padang Terap pada kali ini mengambil ketetapan menyokong penuh gandingan kepimpinan utama negara dan parti yang menjiwai denyut nadi rakyat dan suara hati parti keramat ini dibawah satu bumbung “Keluarga Malaysia”, katanya.
-Berita Harian