KUALA LUMPUR : Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam ini bersetuju memecat blogger dan aktivis, Datuk Zaharin Mohd Yasin daripada menjadi ahli UMNO berkuat kuasa serta-merta.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan itu diambil mengikut Fasal 10.6 dibaca bersama Fasal 5.9 kerana melanggar Etika Ahli UMNO di bawah Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.
“Mesyuarat MT menerima perletakan jawatan Tan Sri Zulhasnan Rafique sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO dan merakamkan ucapan terima kasih atas khidmat yang telah beliau berikan.
“Sebagai penggantinya, mesyuarat bersetuju untuk melantik Datuk Mohd Hafarizam Harun sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO yang baharu,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Dato Onn di sini.
Zaharin sebelum ini lantang mengkritik beberapa pimpinan parti termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melalui media sosialnya.
Mei lalu, Zaharin menghentam Ahmad Zahid susulan kononya wang yang diterima dari Singapura bagi tujuan kepentingan UMNO.
Menurut Zaharin, UMNO tidak pernah menerima wang daripada individu pemegang jawatan dalam UMNO sebaliknya bantuan kewangan disalurkan ke pengurusan UMNO bahagian melalui ibu pejabat parti itu.
Terdahulu, MT UMNO sepakat memutuskan pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 diadakan pada tahun ini juga.
-Utusan Online