JAKARTA: Kementerian Kesihatan tidak menolak kemungkinan gelombang jangkitan Covid-19 di Indonesia bakal melonjak pada Februari 2023 berikutan varian Omicron XBB yang dikesan di negara ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menterinya, Budi Gunadi Sadikin berkata, risiko peningkatan kes perlu dipandang serius semua pihak kerana varian Omicron XBB mula menyebabkan pertambahan kes di beberapa negara, termasuk Singapura.
“Kita jangkakan gelombang baharu Covid-19 boleh berlaku pada Februari depan dan itu sebab kita perlu mengambil segera suntikan dos penggalak,” katanya seperti yang dilaporkan CNN Indonesia.
Ketika ini, varian XBB sudah dikesan di Surabaya, Jawa Timur.
Pesakit tersebut dijangkiti varian itu pada bulan lepas selepas pergi ke Lombok, Nusa Tenggara Barat.
Namun, Budi enggan menyatakan varian XBB sebagai ‘punca utama’ kepada peningkatan kes harian Covid-19 di seluruh negara ketika ini.
Berdasarkan data yang dikumpul pihak berkuasa kesihatan, dalam tempoh 19 hingga 25 Oktober, jumlah kes kumulatif Covid-19 adalah sebanyak 12,045 kes.
Selain itu, kes kematian akibat virus itu juga dilaporkan meningkat dari semasa ke semasa.
UtusanOnline-