KUALA LUMPUR : Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Pelantikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Presiden PKR itu diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara, pagi tadi.
“Setelah memperhalusi titah pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan untuk melantik Yang Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ahli Parlimen Tambun) sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.
“Ia selaras dengan kuasa baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” demikian menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin melalui satu kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu menyebut, pada sesi perbincangan khas Raja-Raja Melayu yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, baginda telah berkenan mewasalkan kepada Raja-Raja Melayu bahawa proses pelantikan Perdana Menteri baharu adalah susulan daripada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu lalu.
“Perbincangan khas itu juga bertujuan bagi Seri Paduka mendapat pandangan Raja-Raja Melayu untuk membolehkan baginda membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat.
“Proses di atas adalah bagi membolehkan Seri Paduka membuat keputusan melantik seorang Ahli Dewan Rakyat pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan”.
Ahmad Fadil berkata, proses seterusnya ialah Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri yang dijadual jam 5 petang ini di Istana Negara.
“Seri Paduka mengingatkan kepada semua pihak bahawa yang menang, tidak menang semua dan yang kalah, tidak kalah semua. Justeru, bagai biduk lalu, kiambang bertaut, hulurkan tangan antara satu dengan yang lain bagi merapatkan semua saf antara semua Ahli-Ahli Dewan Rakyat demi masa depan negara tercinta,” katanya.
Katanya, baginda menegaskan, negara ini umpama harta pusaka di mana pemimpin adalah pemegang amanahnya, perlu dijaga kerana ia bakal diwarisi generasi yang akan membawa negara terus ke mercu kejayaan.
“Seri Paduka juga berpesan kepada Perdana Menteri dan kerajaan baharu yang bakal dibentuk untuk mengambil resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.
“Hakikatnya, rakyat jelata tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tiada kesudahan tatkala negara memerlukan sebuah kerajaan stabil untuk merancakkan landskap ekonomi dan pembangunan negara.
“Ahli Dewan Rakyat yang telah dipilih turut diingatkan supaya mempamerkan soladiriti dengan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.
Seri Paduka turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada sokongan berterusan Raja-Raja Melayu dalam menyempurnakan tanggungjawab baginda selaku Raja Berpelembagaan yang berteraskan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
“Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu turut menyokong pendirian Seri Paduka Baginda bagi pembentukan kerajaan yang stabil dengan secepat mungkin berikutan PRU15 menerusi proses yang penuh cermat dan teliti serta pemerhatian yang mendalam.
“Seri Paduka Baginda memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT dan menyeru rakyat agar terus beristiqamah serta bertenang dan bersama mendoakan agar negara sentiasa diberkati, dirahmati dan di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi daripada sebarang bencana dan musibah,” katanya.
-Berita Harian