Kajang : Kerajaan dijangka akan membentangkan Bajet 2023 bulan depan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menurutnya, bajet yang dibentangkan itu mungkin akan ditambah baik daripada yang dibentangkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bulan lalu.
“Kerajaan akan bentangkan bajet bulan depan yang akan ditambah baik.
“Namun dalam Persidangan Parlimen pertama pada 19 Disember depan akan membentangkan bajet mini untuk emolumen bagi membolehkan gaji penjawat awam diluluskan,” katanya dalam sidang media khas di Rumah Kelab Sungai Long, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun memaklumkan barisan kabinet yang dipilih kelak akan diperincikan bersama ketua gabungan parti dalam kerajaan.
Menurutnya, Pakatan Harapan (PH) jelas tidak akan melantik mana-mana Ahli Parlimennya yang berdepan pendakwaan di mahkamah.
Namun, memandangkan kerajaan perpaduan membabitkan gabungan parti lain, keputusan lantikan Jemaah Kabinet akan diperhalusi dalam kalangan mereka terlebih dulu.
“PH jelas tidak akan melantik mereka yang berdepan kes mahkamah namun gabungan lain terpulang kepada mereka untuk memutuskan perkara itu,” katanya.
-Harian Metro